Op Grip: SPRM beku akaun bank, nilai dianggar RM70 juta

Op Grip: SPRM beku akaun bank, nilai dianggar RM70 juta

Siasatan kes penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen membawa kepada pembekuan 16 akaun syarikat dan 25 akaun perbankan milik individu.

SPRM LOGO
SPRM membekukan akaun syarikat dan akaun perbankan milik individu menyusuli serbuan Op Grip.
PETALING JAYA:
Serbuan ke atas syarikat-syarikat dipercayai terlibat penyeludupan tayar dan pemalsuan dokumen import/eksport membawa kepada pembekuan akaun syarikat dan akaun perbankan milik individu, dianggarkan bernilai kira-kira RM70 juta, menurut sumber.

Sumber memaklumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 16 akaun syarikat dan 25 akaun perbankan milik individu, susulan serbuan pada 29 Sept lalu.

Serbuan dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM secara bersepadu dengan kerjasama kastam, Lembaga Hasil Dalam Negeri, dan Bank Negara menerusi apa yang digelar ‘Op Grip’.

Sumber memaklumkan, dua buah syarikat dikenal pasti terbabit dalam suatu sindiket, setakat ini, dan antara modus operandi yang digunakan adalah pembelian melalui peniaga tidak sah dan penipuan pelekat.

“Siasatan awal mendapati tayar yang diseludup adalah tayar baharu tetapi ia mempunyai pelbagai isu seperti penipuan pelekat dan juga ‘tampering barcode’.

“Bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Serbuan turut membawa kepada penyitaan empat aset tak alih, bernilai kira-kira RM13 juta, tambahnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Azmi Kamaruzaman memaklumkan SPRM membuka kertas penyiasatan tatakelola berkaitan kes tersebut.

“Bahagian Penyiasatan Tatakelola akan melakukan siasatan dokumen berkaitan perolehan tayar-tayar tersebut kerana didapati tayar-tayar ini tidak didaftarkan serta ada unsur penyeludupan atau import tidak sah yang boleh menyebabkan risiko keselamatan pengguna,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan dijalankan bawah Seksyen 18 Akta SPRM dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Pada 29 Sept lalu, Berita Harian melaporkan SPRM menggempur beberapa syarikat dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup tayar serta pemalsuan dokumen import dan eksport sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian hasil cukai sekitar RM350 juta sejak 2020 hingga kini.

Menurut laporan itu, serbuan dijalankan ke atas syarikat yang menjalankan perniagaan mengimport, gudang dan kontena penyimpanan tayar.

Serbuan itu juga sebahagian Op Grip, dilakukan ke atas 23 lokasi sekitar Lembah Klang , Pulau Pinang dan Johor.

Serbuan itu dilakukan susulan laporan BH mengenai pengabaian aspek keselamatan mekanikal kenderaan khususnya membabitkan isu tayar, yang menjadi antara punca utama kemalangan ngeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.