
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani, berkata tiada sebarang perjumpaan atau perbincangan setakat ini antara pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia berhubung kebolehlaksanaan waktu bekerja itu.
“Kita belum berbincang apa-apa lagi. Buat masa ini kita melihat (dasar) ini tidak relevan, kerana dalam Akta Kerja 1955 secara jelas menyebut pekerja boleh memohon waktu kerja secara fleksi.
“Itu pilihan yang kita lihat lebih baik berbanding kerja empat hari seminggu. Dan kita berpendapat ia bukan terlalu mendesak (untuk dilaksanakan) sekarang ini,” katanya kepada FMT.
Pada 2 Julai lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob meminta Menteri Sumber Manusia, M Saravanan dan MTUC berbincang mengenai saranan waktu bekerja empat hari seminggu. Pindaan Akta Kerja 1995 yang berkuat kuasa pada 1 Sept ini membolehkan pekerja di negara ini memohon waktu Aturan Kerja Fleksibel (AKF) daripada majikan.
Dalam pada itu, Effendy berpandangan pelaksanaan dasar kerja empat hari seminggu tidak praktikal kerana waktu bekerja perlu dipanjangkan kepada 12 jam bagi memenuhi tempoh kerja 45 jam seminggu di bawah Akta Kerja 1955. Katanya, tempoh bekerja yang lebih panjang akan menjejaskan produktiviti pekerja sekali gus memberi kesan kepada kualiti kerja.
“Adakah pekerja sanggup bekerja dalam tempoh panjang jika hari bekerja dipendekkan? Kerana untuk mematuhi tempoh kerja 45 jam seminggu, pekerja perlu bekerja 12 jam sehari – itu tidak termasuk waktu kerja lebih masa.
“Kalau kena kerja tambahan dua, tiga jam sehari. Pasti akan ada kesan kepada produktiviti pekerja itu sendiri,” katanya.
Pada 21 Jun lalu, media melaporkan kaji selidik oleh syarikat Qualtrics mendapati 62% pekerja sepenuh masa di negara ini lebih gemar fleksibiliti sepanjang empat hari bekerja dalam seminggu.
Kebanyakan responden percaya, bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan hidup bekerja (86%), kesejahteraan mental (82%) dan produktiviti (83%) selain membuatkan mereka rasa lebih setia kepada majikan.
Namun, pakar ekonomi berpandangan Malaysia belum bersedia melaksanakan dasar tempoh bekerja empat hari seminggu seperti yang mula dilaksanakan di beberapa negara maju berikutan faktor produktiviti yang rendah serta struktur ekonomi berteraskan buruh.
Effendy bagaimanapun berpendirian pelaksanaan dasar itu bergantung kepada keperluan industri memandangkan tidak semua industri dan pekerjaan sesuai melaksanakannya.
“Kita serahkan kepada pihak industri kerana industri saja boleh tentukan kesesuaian mereka untuk bekerja empat hari seminggu, sebab ada industri yang tak sesuai kerja macam tu. Jadi kita tak boleh cakap bagi pihak industri, ia lebih kepada persetujuan bersama antara majikan dan pekerja,” katanya.