
Setiausaha agung Bersatu berkata, kelulusan itu menunjukkan komitmen Ahli Parlimen partinya, meskipun berdepan kritikan hebat atas tindakan mereka keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH), tiga tahun lalu.
“Kalau nak dikatakan tentang masalah yang timbul sebelum ini (Langkah Sheraton), jangan hanya bercakap daripada kerajaan yang ada hari ini. Ini kerajaan campuran, dengan parti-parti digabungkan.
“Dari mana asalnya mereka, tak payah dipersoalkan. Kalau kita lihat gabungan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ia asal dari Barisan Nasional (BN) dan keluar jadi sebahagian dari kerajaan hari ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau berkata, pada 2015, ada kalangan ahli PAS keluar selepas berbaiah, namun mereka tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Pada 2018, kerajaan BN jatuh di Sabah sebab ada yang keluar sertai Warisan. Kalau Warisan beria-ia sangat tak nak keluar, tak nak lompat parti dan kalau benar, Warisan tak boleh tubuh kerajaan pada 2018, tetapi dia arah dua tiga orang BN keluar untuk bersama mereka.
“Kalau nak mengatakan siapa salah, siapa betul…maka timbul macam-macam persoalan yang ada hari ini. Cuba kita fikirkan, kalau saya bercakap macam ini dalam Dewan, apa yang berlaku…ia akan memecah belahkan lagi kami, apa yang harus kita lakukan untuk luluskan undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tetap mempertahankan keputusan partinya keluar daripada PH.
“Kita tetap bangga dan yakin (apa yang dilakukan) untuk kepentingan rakyat. Bila kerajaan PH jatuh, apa yang berlaku dalam 22 bulan? Berlaku ICERD, masalah perkauman…menyebabkan rusuhan, semua berlaku,” katanya.
Hamzah berkata, Ahli Parlimen Bersatu mengambil tanggungjawab bukan kerana kepentingan individu, namun demi memastikan tidak berlaku lagi masalah perkauman untuk mewujudkan kerajaan stabil bagi masa depan lebih baik.
“Saya minta semua supaya memahami, mereka bertanggungjawab menentukan bahawa kita dapat melakukan sesuatu sehingga berjaya undang-undang ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelulusan Rang Undang-undang (RUU) anti-lompat parti di Parlimen adalah isyarat jelas amalan politik matang dalam negara.
Katanya, RUU diluluskan itu penting bagi memastikan kestabilan politik berpanjangan.
“Hari ini, sejarah tercipta apabila pindaan RUU berkenaan peruntukan larangan ahli dewan rakyat bertukar parti, diluluskan di Dewan Rakyat dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga,” katanya.