Lagak samseng ugut guna pisau, pemandu lori dicekup

Lagak samseng ugut guna pisau, pemandu lori dicekup

Lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira 12.25 tengah malam tadi di Klang.

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau kepada pemandu lori. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tindakan samseng seorang pemandu lori yang mengacu pisau kepada pemandu lori lain mengundang padah apabila ditahan polis.

Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Parang, Bandar Sultan Suleiman, dekat Klang.

Ketua Polis Klang Utara, S Vijaya Rao, berkata lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 12.25 tengah malam tadi di Klang.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang pemandu lori berusia 30-an pada 5.15 petang Isnin, mendakwa lori dipandunya dipintas dan ditahan suspek yang memandu sebuah lori.

“Suspek dikatakan turun dari lori dengan membawa sebilah pisau dan terus mengugut mangsa dengan kata-kata ‘you tak kenal lagi siapa aku, kau tunggu aku cari kau’.

“Siasatan awal mendapati, motif kejadian lebih kepada buli jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan curi motosikal, namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah.

“Suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 31 saat memaparkan tindakan seorang lelaki mengacukan senjata dipercayai pisau terhadap pemandu lori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.