Pengedar ditahan bersama heroin RM200,000

Pengedar ditahan bersama heroin RM200,000

Sebanyak 100 botol lut sinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000 ditemukan pada suspek.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas hasil penahanan dua suspek pengedar di Pasir Mas dalam Op Tapis Sempadan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Polis menahan seorang lelaki bersama sejumlah 100 botol dadah disyaki jenis heroin bernilai RM200,000 di sebuah kedai makan, di Kampung Gual Sitok, Pasir Mas, dua hari lalu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata suspek berumur 23 tahun dikesan dalam Op Tapis Sempadan selepas dia dilihat dalam keadaan mencurigakan pada 2.36 pagi, di dalam kedai berkenaan.

Bercakap kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, beliau berkata, apabila diperiksa polis menemukan satu beg plastik hitam pada tangan kiri suspek mengandungi 100 botol lut sinar serbuk keputihan disyaki dadah jenis heroin, yang setiap satunya bernilai sekitar RM2,000.

Sementara itu, menurutnya Khamis lalu polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan merampas 2,000 biji pil Yaba di dalam sebuah kereta di hadapan sebuah rumah, pada 5.06 pagi di Kampung Repek, Pasir Mas.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh turut positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Zaki berkata, Op Tapis Sempadan yang dijalankan dari 21 hingga 23 Julai di daerah bersempadan dengan Thailand, membawa kepada penahanan 34 orang atas pelbagai kesalahan, selain merampas dadah bernilai RM230,165.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.