Matta cadang pesalah tipu jemaah haji dihukum penjara

Matta cadang pesalah tipu jemaah haji dihukum penjara

Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Matta) berkata bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi pihaknya jika mempunyai keraguan.

Pada 7 Julai lalu media melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Matta) mencadangkan pihak berkuasa menjadikan kes penipuan jemaah haji oleh agensi pelancongan sebagai satu jenayah berat dengan hukuman penjara supaya perkara itu dapat dibanteras.

Presiden Matta, Mohd Khalid Harun, berkata bagi mengelakkan ditipu, bakal jemaah haji yang berurusan dengan agensi pelancongan boleh menghubungi pihak Matta sekiranya mempunyai keraguan.

Beliau berkata bakal jemaah mesti mempunyai visa haji bagi menunaikan ibadat itu.

“Tentukan ada visa haji. Mohon penjelasan bukti sebelum memberi sebarang dokumen seperti pasport dan jangan bayar sebelum ada jaminan penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khalid turut mengingatkan agensi pelancongan supaya tidak memperdagangkan visa haji yang dianugerahkan kepada mereka sesuka hati dan mengenakan caj perkhidmatan yang berpatutan.

“Pastikan agensi pelancongan sudah menerima tawaran (visa haji) yang diamanahkan baru mengundang jemaah haji,” katanya.

Pada 7 Julai Bernama melaporkan 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka dipercayai menggunakan visa furada iaitu visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Lembaga Tabung Haji (TH).

TH sebelum ini memberi peringatan mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.