
Beliau berkata, penjelasan dibuat oleh Khaled dalam satu taklimat pada mesyuarat Jemaah Menteri.
“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah menerima maklum balas serta pandangan berhubung taklimat hari ini dan kenyataan dibuat oleh menteri pertahanan semalam.
“Beberapa perkara yang dimaklumkan hari ini akan disusuli dengan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi.
ATM menjadi perhatian susulan beberapa isu termasuk dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai tertinggi, khususnya berkaitan projek perolehan dan tender ketenteraan.
Hari ini, seorang lagi pegawai tinggi ATM dilaporkan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan lanjut berhubung dakwaan rasuah membabitkan angkatan tentera.
Sebelum ini, beberapa operasi khas SPRM, termasuk ‘Op Sohor’, mendedahkan kegiatan penyeludupan dan aktiviti haram melibatkan beberapa pegawai ATM sama ada yang masih berkhidmat atau bersara, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap isu integriti dalam beberapa unit tentera.
Minggu lalu, Kementerian Pertahanan juga memaklumkan ia mengarahkan ATM menjalankan siasatan dalaman terhadap dakwaan aktiviti tidak bermoral, termasuk kemasukan orang luar tanpa kebenaran bagi tujuan hiburan serta kewujudan bar mini.
Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan apa yang digambarkan sebagai ‘budaya hiburan’ dalam kalangan pegawai tentera, termasuk di Pangkalan Udara Subang.
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata Jemaah Menteri akan memfailkan semakan semula terhadap keputusan kes bekas setiausaha agung Muda Amir Hadi mengenai keperlembagaan akta seksyen tertentu dalam Akta Perhimpunan Aman.
Beliau berkata, Jemaah Menteri minggu lalu membuat satu keputusan dasar untuk membuat pindaan kepada Akta Perhimpunan Aman.
“Maka hari ini Jemaah Menteri memutuskan agar maklumat disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan apakah wajar untuk diteruskan semakan kehakiman terhadap keputusan yang telah dibuat dalam kes Amir ini.
“(Selepas) diputuskan tindakan susulan akan disusuli oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.