Bekas pemain badminton negara Robert Lin lepas tanpa bebas tuduhan tipu

Bekas pemain badminton negara Robert Lin lepas tanpa bebas tuduhan tipu

Mahkamah Sesyen Shah Alam memberikan DNAA kepada bekas atlet itu atas dua tuduhan penipuan hampir RM60,000.

Robert Lin
Robert Lin dan Fairuzizuan Tazari merupakan beregu lelaki nombor empat dunia pada 2006.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Shah Alam melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas pemain badminton negara, Robert Lin atas dua pertuduhan penipuan hampir RM60,000.

Lin dalam kenyataan berkata Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membuat keputusan itu 5 Jan lalu.

Lin, yang pernah bergandingan dengan Fairuzizuan Tazari sebagai beregu lelaki nombor empat dunia pada 2006, didakwa pada Julai 2022.

Beliau dituduh menipu Lee Yang Sheng dengan mendakwa mampu menggandakan wang melalui pertaruhan dalam talian dan dagangan saham didakwa tidak wujud, sehingga berjaya memujuk Lee memindahkan kira-kira RM60,000 ke akaun bank beliau dan isterinya pada 2016.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin mengendalikan pendakwaan, manakala peguam M Athimulan mewakili Lin.

Lin pernah mewakili negara dalam acara beregu lelaki pada Piala Dunia 2006, di mana beliau meraih pingat perak.

Beliau juga memenangi pingat gangsa untuk Malaysia di Sukan Asia Doha 2006 dan Sukan SEA 2007 di Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.