Wanita rasa tak sedap hati, suami sudah ingatkan ejen haji berhati-hati dengan ‘scammer’

Wanita rasa tak sedap hati, suami sudah ingatkan ejen haji berhati-hati dengan ‘scammer’

Aida berkata suaminya ternampak seorang individu yang didakwa pernah dikaitkan dengan beberapa kes penipuan dalam satu kursus haji.

Suara hati seorang wanita malangnya menjadi kenyataan apabila 380 peserta haji dan suaminya terkandas di KLIA dala kes penipuan yang menggemparkan negara.
PETALING JAYA:
Seorang wanita dan pasangannya sudah berasa tak sedap hati apabila ternampak seorang individu yang didakwa pernah dikaitkan dengan beberapa kes penipuan dalam satu kursus haji.

Malangnya, kebimbangan “Aida” menjadi kenyataan apabila 380 peserta haji dan suaminya, yang merupakan pemandu mereka, terkandas di KLIA dalam kes penipuan yang menggemparkan negara menjelang Aidiladha.

“Suami saya sudah beri amaran pada ejen supaya berhati-hati (dengan individu terbabit),” katanya kepada FMT. “Tapi bos (ejen) cakap ‘tak apa (individu itu) dah cuci tangan, kali ini dia nak buat benda yang betul’. Jadi mereka (ejen-ejen) bagi dia peluang.”

Aida berkata dia dan suami sudah merasakan ratusan peserta haji yang menunggu di KLIA sejak 28 Jun sudah menjadi mangsa penipuan apabila terima khabar penerbangan ke Mekah ditunda berkali-kali, akhirnya sehingga 7 Julai, berikutan masalah visa.

“Asyik tangguh-tangguh, akhirnya orang mula mogok. Akhirnya ‘kantoi’ apabila polis keluarkan kenyataan sebenarnya memang tiada langsung (syarikat) tempah sebuah kapal terbang (untuk ke Mekah),” katanya.

“Visa ‘furada’ sebenarnya langsung tak wujud. Pemprosesan visa itu langsung tidak ada sebab (syarikat) tidak berdaftar bawah Tabung Haji,” katanya, merujuk kepada visa yang membolehkan agensi pelancongan membawa jemaah haji tanpa melalui Tabung Haji.

Aida nampak kesedihan dalam kalangan peserta haji ketika menghantar suaminya ke lapangan terbang.

“Saya tak sampai hati melihat (jemaah). Lelaki semua dah pakai ihram, perempuan semua dah sedia. Mereka tahu mereka sudah kena tipu, tapi tak tahu nak buat apa? Arah mana? Lepas ini nak buat apa? Yang mereka tahu hanya buat laporan polis sahaja,” keluhnya.

FMT sebelum ini melaporkan polis telah menahan lima individu dipercayai terlibat memperdayakan bakal jemaah haji itu.

Ketua Polis Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata tangkapan ke atas kelima-lima suspek dibuat Jumaat malam dan seorang daripada mereka pemilik syarikat pelancongan terbabit.

Aida mengharapkan tindakan yang lebih berkesan daripada pihak berkuasa ke atas mereka yang didapati bersalah agar kes tidak berulang.

“Saya tak nak dia terlepas. Sebab tahun depan kita takut dia tukar nama (syarikat), buat modus operandi yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.