Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi ditahan

Wanita didakwa hina Islam ketika berkomedi ditahan

Suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields buat masa sekarang dan siasatan masih diteruskan.
PETALING JAYA:
Wanita yang didakwa menghina Islam dengan menanggalkan tudung dan pakaian ketika membuat persembahan komedi berdiri ditahan polis, hari ini.

Setiausaha Polis Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan berkata, suspek kini direman tiga hari bermula hari ini.

“Suspek wanita itu ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields buat masa sekarang dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjalankan siasatan awal berhubung satu klip video tular disyaki menghina agama Islam, baru-baru ini, yang berlaku di sebuah kelab, di sekitar Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Mohd Ajib Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan siasatan awal telah dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jawi.

Dalam video berdurasi 54 saat yang tular, wanita berusia pertengahan 20-an itu yang pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk al-Quran lalu menanggalkan pakaian yang menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.

Susulan daripada kecaman ramai, pengurusan kelab komedi, Crackhouse Comedy Club (CH), mengutuk sekeras-kerasnya tindakan wanita itu yang didakwa menghina kesucian agama Islam menerusi perbuatannya.

Dalam kenyataannya, CH menyatakan selepas berlaku persembahan itu, individu terbabit termasuk pasangannya dilarang daripada kembali ke premis berkenaan. Pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung insiden terbabit.

Hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi kelab itu susulan klip video tular wanita itu.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“DBKL telah membuat siasatan lanjut terhadap lesen premis berkenaan dan tindakan menggantung sementara pengoperasian premis berkenaan telah dilakukan secara serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Klip video berdurasi 54 saat yang tular di media sosial itu menunjukkan seorang wanita yang mula-mula mendakwa dia menghafaz 15 juz al-Quran dan kemudian membuang tudung dan baju kurungnya, hingga kelihatan separuh bogel.

Susulan itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penularan rakaman video menerusi dimuat naik @mie_8099, menunjukkan seorang wanita menghina Islam ketika membuat persembahan komedi.

Polis juga berkata, kertas siasatan dibuka oleh unit siasatan jenayah terkelas mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, kelab tersebut, ‘Crackhouse Comedy Club House’ dalam catatan Facebooknya mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular itu dan telah membuat laporan polis mengenai perkara itu di balai polis TTDI.

Awal hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) susulan satu klip video tular tersebut.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak akan sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti yang melanggar mana-mana sensitiviti melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan negara.

“Isu ini juga turut mendapat kecaman daripada penduduk berhampiran dan netizen di media sosial yang berpendapat bahawa, video tular tersebut jelas dan terang merupakan perbuatan yang bertujuan menghina serta mencemarkan imej agama Islam.

“Justeru, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur, DBKL tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu-isu sebegini,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.