Penduduk rayu Raja Muda Kedah hentikan projek Musang King

Penduduk rayu Raja Muda Kedah hentikan projek Musang King

Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa terkejut ketika menerima perkhabaran kejadian di Baling selepas apa yang berlaku di Yan.

Penduduk Kampung Iboi, Baling, merayu kepada Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin agar dapat menghentikan projek Musang King. (Gambar TikTok)
PETALING JAYA:
Penduduk Kampung Iboi, Baling, merayu kepada Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, supaya projek Musang King di Gunung Inas, dihentikan serta merta.

Dalam video TikTok, seorang penduduk kampung yang mendakwa kematian saudaranya dalam kejadian kepala air, Isnin lalu, secara langsung mengadap rombongan Tengku Sarafudin, yang mencemar duli ke kawasan tragedi.

“Saya nak luahkan perasaan saya yang kejadian meragut nyawa saudara saya, saya nak minta jasa baik Tuanku hentikan projek Musang King. Kami mahu dengar dari mulut Tuanku sendiri meluahkan perkataan itu…minta maaf Tuanku,” kata lelaki itu.

Tengku Sarafudin kemudian bertitah, beliau mengambil maklum apa yang diperkatakan dan bertitah kawasan yang gondol sehingga menampakkan tanah terbiar terutama di kawasan bukit perlu ditutupi segera.

“Bukan sahaja di Baling, malah di semua 12 daerah di seluruh Kedah yang berdepan masalah seperti ini,” titahnya.

Dalam pada itu, Raja Muda Kedah juga menzahirkan dukacita kerana tragedi banjir dan fenomena kepala air berlaku di Baling merupakan kali kedua berlaku, tidak sampai setahun kejadian serupa di Yan, pada 18 Ogos tahun lalu.

“Masa itu dapat berita menerusi (aplikasi) WhatsApp (mengenai) semua kejadian ini berlaku. Beta berasa terkejutlah dan sedih sebab bencana ini berlaku lagi, ini bukan kali pertama. Sebelum ini (kali pertama) berlaku di Yan. Jadi, (Beta) sedih ia berlaku dekat penduduk kampung,” titah baginda menurut Bernama selepas mencemar duli ke Kampung Iboi, Baling.

Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda baginda iaitu Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.

Pada Isnin, tiga penduduk Kampung Iboi terkorban dan ditemukan meninggal dunia selepas dihanyutkan aliran air deras akibat kepala air dari Gunung Inas.

Kejadian itu tidak sampai setahun selepas tragedi sama berlaku di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu, mengorbankan enam penduduk.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menasihati penduduk yang tinggal di tepi sungai dan gunung serta kawasan berisiko tinggi agar berpindah dengan serta-merta sekiranya terdapat amaran awal kejadian banjir dan hakisan tanah di kawasan kediaman mereka.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan seterusnya berangkat meninjau lokasi kejadian jambatan runtuh di Kampung Iboi serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga terjejas.

Semasa di lokasi kejadian jambatan runtuh itu, baginda turut berkenan berangkat menyeberangi sungai menggunakan jambatan Bailey yang baru disiapkan hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota tentera sebagai jambatan sementara untuk memudahkan pergerakan penduduk.

Tuanku berdua bersama kedua-dua anakanda baginda turut berkenan mencemar duli membersihkan pekarangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang turut terjejas teruk akibat bencana itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.