
Thanaletchumy Subramaniam, 67, memberitahu FMT beliau menyukai tingkah laku pasangan itu yang baru berpindah ke kejiranan mereka beberapa bulan lepas.
“Mereka baik dan kelihatan peramah. Saya sangat terkejut dengan apa yang menimpa mereka,” katanya kepada FMT.
Polis semalam menemui Ng Chun Hon, 64, dan isteri, Ooi Tin Lu, 59, dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah mereka, dengan kecederaan di kepala.
Susulan itu, adik lelaki si suami, Chun Ming, 61, yang tinggal bersama pasangan itu, ditahan di Genting Highlands kira-kira 7.45 malam Khamis.
“(Chun Ming) kurang bercakap dengan jiran-jiran dan isteri dia telah meninggal beberapa tahun lalu. Isteri dia penjual ayam dan kami, jiran-jiran juga pernah membeli ayam dengannya,” kata Thanaletchumy.
Salomia Sinnakutty, 40, yang tinggal berhadapan dengan kediaman mangsa, berkata pada hari kejadian, keadaan rumah mangsa kelihatan seolah-olah tiada tragedi berlaku.
“Saya tak dengar apa-apa bunyi pelik. Saya sangat terkejut dengan insiden pembunuhan ini,” katanya.
Polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh abang Chun Hon, yang menemui kedua-dua mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Turut tinggal di rumah berkenaan adalah ibu Chun Hon yang berusia 90 tahun, uzur dan berkerusi roda.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Yahaya Hassan berkata, kematian pasangan itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.