Kekasih disyaki bunuh pelajar Tingkatan 4 guna bantal

Kekasih disyaki bunuh pelajar Tingkatan 4 guna bantal

Perselisihan faham dipercayai menjadi punca kematian remaja perempuan itu dengan kekasihnya yang berusia 24 tahun yang tidak bekerja.

Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal, kata Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut akibat lemas dipercayai dibunuh kekasihnya dengan menggunakan bantal dalam kejadian di Kampung Idaman, Pandamaran, pagi semalam.

Ketua Polis Klang Selatan Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.40 pagi berhubung penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah kekasihnya itu.

“Pada jam 2 pagi semalam, suspek dipercayai membawa mangsa ke bilik di rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.

“Siasatan juga mendapati suspek mengangkat mangsa dan membawanya keluar dari bilik hingga ke halaman rumah itu.

“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya. Ahli keluarga menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di muka serta leher.

“Bedah siasat yang dijalankan pula mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal dan bantal itu dijadikan barang bukti kes,” katanya.

Mangsa adalah seorang perempuan berumur 16 tahun yang juga pelajar sekolah di Lembah Klang, manakala suspek yang berusia 24 tahun tidak bekerja.

“Suspek berkenalan dengan mangsa selama setahun dan hubungan mereka diketahui keluarga, malah suspek sudah beberapa kali membawa mangsa ke rumah itu.

“Bagaimanapun ketika kejadian, ibu bapa serta abang suspek sedang tidur dan mereka tidak mendengar bunyi bising dan hanya dikejutkan oleh suspek selepas kejadian itu,” katanya.

Suspek yang tiada rekod lampau kini ditahan reman hingga 3 Jul depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.