5 Ogos keputusan sama ada Indira boleh rujuk KPN hina mahkamah

5 Ogos keputusan sama ada Indira boleh rujuk KPN hina mahkamah

M Indira Gandhi memfailkan prosiding menghina mahkamah kerana polis gagal mematuhi perintah mandamus pada 2014 untuk mendapatkan semula anak perempuannya.

M Indira Gandhi bersama peguamnya, Rajesh Nagarajan (kanan) dan Arun Duraisamy di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Ipoh menetapkan 5 Ogos ini untuk memutuskan permohonan kebenaran M Indira Gandhi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap ketua polis negara (KPN) dan pegawai bawahannya atas kegagalan mereka mendapatkan semula anak perempuannya, Prasana Diksa.

Perkara ini disahkan oleh peguam Indira, Rajesh Nagarajan dalam sidang media selepas Mahkamah Tinggi mendengar hujahan kedua-dua pihak berhubung permohonan kebenaran itu.

Kerajaan membantah permohonan Indira mendapatkan kebenaran untuk merujuk polis kerana tidak menghormati perintah Mahkamah Tinggi pada 2014.

Indira memfailkan prosiding menghina mahkamah kerana polis gagal mematuhi perintah mandamus yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014 untuk mendapatkan semula Prasana dan memfailkan afidavit setiap bulan berserta salinan laporan siasatan.

Beliau sebelum itu memfailkan saman sivil RM100 juta secara berasingan terhadap KPN, polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan bahawa pihak berkuasa tiada tindakan dalam perkara itu.

Prasana diambil bapanya, Muhammad Riduan Abdullah yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan pada 2009 dan memeluk Islam secara sepihak.

Pada 29 Jan 2018, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan deklarasi yang dipohon oleh wanita itu bahawa tiada ibu atau bapa daripada perkahwinan sivil boleh menukar agama anak mereka yang masih kecil, walaupun pasangan itu telah memeluk Islam.

Susulan keputusan itu, sijil penukaran agama yang dikeluarkan oleh pendaftar mualaf Perak kepada tiga anaknya – Tevi Darshiny, Karan Dinesh dan Prasana – terbatal serta tidak sah.

Indira dan Riduan melangsungkan perkahwinan sivil pada 10 April 1993, tetapi lelaki itu memeluk Islam pada 11 Mac 2009.

Pada 31 Mac 2009, Riduan meninggalkan rumah sepencarian mereka di Ipoh bersama-sama Prasana yang ketika itu berusia 11 bulan. Dua hari kemudian, dia secara sepihak menukar agama ketiga-tiga anaknya dengan menggunakan sijil kelahiran mereka dan tanpa persetujuan serta pengetahuan Indira.

Lokasi Riduan dan Prasana masih tidak diketahui sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.