Sumbangan RM36,000, bantuan perubatan buat ibu tunggal dengan anak OKU

Sumbangan RM36,000, bantuan perubatan buat ibu tunggal dengan anak OKU

S Kogila Vani mempunyai anak perempuan kurang upaya, Yaashika.

Yaashika menggunakan kerusi roda khas yang diterima daripada penderma di rumah mereka di Pandan Indah.
PETALING JAYA:
Ibu tunggal, S Kogila Vani kini boleh menarik nafas lega atas sumbangan orang ramai yang bermurah hati tampil membantu anak perempuan kurang upaya (OKU), Yaashika yang tidak boleh berjalan atau bercakap.

Selepas kisahnya disiarkan FMT baru-baru ini, sumbangan berjumlah RM36,528 dikumpulkan untuk mereka setakat ini. Kogila turut menerima kerusi roda khas, lampin, susu formula bayi dan peralatan perubatan seperti tiub gastrostomi untuk Yaashika dan lebih banyak sumbangan dijangkakan selepas ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua penderma. Saya sangat lega kerana dapat menyediakan keperluan Yaashika,” katanya.

Selepas keperluan segera Yaashika diuruskan, dia kini boleh memikirkan masa depan mereka. “Saya kini boleh memberi tumpuan untuk mendapatkan pekerjaan lebih baik, sebaik-baiknya yang membolehkan saya bekerja dari jauh supaya boleh terus menjaga anak perempuan saya.”

Seorang penderma yang enggan dinamakan, berharap pihak berkuasa akan lebih peka terhadap kes seperti Kogila. “Pihak berkuasa tidak sepatutnya menunggu kes seperti ini disiarkan media untuk menghulurkan bantuan. Mereka boleh melakukan lebih baik.”

Yaashika, 5, tidak mampu berjalan atau bercakap, selain kurang upaya pendengaran serta penglihatan. Dia telah menjalani prosedur trakeostomi dan gastrostomi.

Kogila perlu memberi makan kepada anaknya setiap empat jam dan memastikannya bernafas dengan betul setiap masa bagi mengelakkan saluran pernafasannya tersumbat kerana ia boleh membawa maut.

Kogila bercerai tahun lalu dan menerima wang bulanan daripada bekas suaminya serta bantuan RM500 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi ia tidak cukup untuk menampung kos perubatan Yaashika yang mencecah sehingga RM2,000 sebulan.

Dia mempunyai perniagaan menjual pakaian tradisional India dalam talian dan hanya meraih sekitar RM100 dan RM150 sebulan, separuh daripada pendapatan diraihnya menerusi perniagaan makanan sebelum ini, yang terpaksa dilupakan demi menjaga anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.