RUU Pendanaan Politik : Lindung penderma kecil, dedah nama besar, kata TI-M

RUU Pendanaan Politik : Lindung penderma kecil, dedah nama besar, kata TI-M

Transparency International Malaysia memberi contoh negara lain yang guna undang-undang bagi menghalang penderma mempengaruhi parti politik secara tidak wajar.

bribery money exchanging hands
Di luar Dewan Rakyat, perbahasan Rang Undang-undang Pendanaan Politik tertumpu kepada pengaruh penderma terhadap keputusan politik.
KUALA LUMPUR:
Sebuah kumpulan pro-ketelusan mencadangkan supaya Rang Undang-Undang Pendanaan Politik yang telah lama tertangguh di Malaysia merangkumi peruntukan untuk melindungi identiti penderma kecil, sambil mendedahkan nama mereka yang memberi sumbangan wang yang besar.

Menurut Transparency International Malaysia (TI-M), langkah ini penting bagi menangani kebimbangan bahawa individu yang menderma kepada parti pembangkang mungkin berdepan tindakan balas.

Presiden TI-M, Raymon Ram mencadangkan supaya identiti penderma yang menyumbang kurang daripada RM10,000 setahun dirahsiakan. Hanya nama penderma yang menyumbang lebih RM10,000 setahun wajar didedahkan kepada umum, katanya kepada FMT.

Raymon mengulas cadangan terbaharu Ahli Parlimen Subang Wong Chen yang mencadangkan had sumbangan politik bagi mengelakkan individu yang mempunyai wang atau akses wang daripada menguasai sesebuah parti politik.

Ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat, Wong mencadangkan agar individu dihadkan daripada menderma lebih RM50,000 setahun, manakala had bagi syarikat ditetapkan pada RM100,000 dan bagi kumpulan korporat besar pada RM500,000.

Raymon berkata, walaupun cadangan Wong itu, jika dilaksanakan, merupakan satu langkah ke hadapan yang positif, had RM50,000 masih dianggap agak tinggi. “Ini masih boleh membolehkan penderma elit memberi pengaruh yang tidak seimbang (ke atas sesetengah parti),” katanya.

Beliau turut menggesa perlindungan undang-undang bagi mengelakkan penderma daripada menjadi mangsa tindakan balas.

“Undang-undang perlu menjadikan satu kesalahan jenayah bagi mana-mana penjawat awam atau agensi menyalahgunakan maklumat penderma untuk tujuan balas dendam, senarai hitam atau tekanan kawal selia,” katanya sambil merujuk Australia dan Korea Selatan sebagai contoh negara yang mempunyai sistem pendedahan yang melindungi penderma kecil, di samping menghalang pengaruh asing.

“Sebagai contoh, Australia baru-baru ini menurunkan ambang pendedahan kepada AUD5,000 dan sedang memperkenalkan had sumbangan serta perbelanjaan. (Sementara itu), Korea Selatan mengharamkan sepenuhnya sumbangan politik oleh syarikat dan mengekalkan rejim pendedahan serta audit yang mantap,” tambahnya.

Isu Rang Undang-Undang Pendanaan Politik kembali dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang menyuarakan kebimbangan mengenai bagaimana undang-undang pendanaan politik boleh dikuat kuasakan.

Wong berhujah bahawa undang-undang yang telah lama tertangguh itu mesti digubal bagi membendung rasuah dalam parti politik.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin memberi amaran bahawa ketakutan terhadap tindakan balas boleh menyebabkan dana disalurkan secara tidak seimbang kepada parti pemerintah, manakala Ahli Parlimen Kubang Pasu Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata syarikat-syarikat besar sememangnya cenderung memihak kepada parti kerajaan dan mungkin menentang pendedahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kula Segaran sebelum ini berkata antara cadangan yang sedang dipertimbangkan dalam rang undang-undang itu ialah pendedahan awam mandatori, had sumbangan, pembiayaan awam dan sekatan terhadap penderma.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Pushpan Murugiah, berkata kebimbangan pembangkang adalah berasas, namun penyelesaiannya ialah menggubal peruntukan yang kukuh, bukannya menentang undang-undang itu secara keseluruhan.

“Parti-parti pembangkang juga perlu sedar bahawa sistem politik mesti dilindungi secukupnya daripada penyalahgunaan dan penyelewengan,” katanya.

“Mereka seharusnya menyokong reformasi institusi yang mengehadkan kuasa sewenang-wenangnya kerajaan dan perdana menteri, seperti pengawasan polis yang lebih berkesan, pengasingan jawatan peguam negara dan pendakwa raya, kebebasan SPRM, serta pemansuhan Sosma,” kata Pushpan kepada FMT.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, pula mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya autonomi bagi mengawal selia pembiayaan politik di Malaysia.

Katanya, ahli suruhanjaya itu boleh dilantik oleh jawatankuasa pilihan Parlimen dwipartisan mengenai pembiayaan politik.

“Pelantikan tersebut perlu dimuktamadkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini akan memastikan pembiayaan politik dikawal selia secara bebas,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.