Yayasan UEM sumbang RM50,000 kepada YTSP Perlis

Yayasan UEM sumbang RM50,000 kepada YTSP Perlis

Yayasan itu turut memberi sumbangan kepada asnaf dan 150 pelajar yang memerlukan menerusi Program Back-to-School di Perlis.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sempena Majlis Perasmian Program Yayasan UEM di Negeri Perlis 2026 di Kangar, baru-baru ini. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Yayasan UEM menyumbangkan RM50,000 kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis selain menganjurkan Program Back-to-School melibatkan sumbangan kepada seramai 150 orang pelajar yang memerlukan.

Penyampaian sumbangan itu disaksikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku pengerusi yayasan berkenaan di Majlis Perasmian Program Yayasan UEM di Negeri Perlis 2026 di Kangar, baru-baru ini.

Baginda juga turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM105,000 serta sumbangan RM150 dan kotak makanan daripada Yayasan UEM kepada 150 asnaf terpilih.

Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan UEM, Noorazman Abd Aziz, Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Amran Hafiz Affifudin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan UEM, Aishah Nor dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Johari Mohd Darus.

Pada majlis itu, baginda bertitah penglibatan sektor swasta menerusi Program Pemberdayaan Komuniti amat penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan berpendapatan rendah serta usahawan mikro.

Titahnya, inisiatif terbbabit bukan sahaja menyokong pembangunan ekonomi setempat, malah memberi sumbangan langsung ke arah pembinaan komuniti yang lebih berdaya tahan dan mampan.

“Komitmen berterusan sektor swasta, khususnya UEM Group melalui sayap kebajikannya, Yayasan UEM terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan Perlis menerusi pelaksanaan inisiatif jangka panjang yang berteraskan pendidikan serta pemerkasaan pembangunan dan sosioekonomi usahawan mikro tempatan,” titahnya.

Untuk rekod Yayasan UEM telah melaksanakan Program Tuisyen SPM serta Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada tahun lalu dengan peruntukan tajaan berjumlah RM350,000 di Perlis, sekali gus memberi manfaat kepada seramai 860 orang pelajar.

Tahun lalu juga menyaksikan peluasan Program Pembangunan Usahawan Yayasan UEM ke Perlis di mana 15 orang usahawan mikro daripada golongan B40 telah dipilih menyertai program dua tahun, merangkumi bantuan berbentuk barangan serta bimbingan latihan dengan peruntukan RM250,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.