Raja Muda Perlis rasmi pusat aktiviti belia MBM di Cheras

Raja Muda Perlis rasmi pusat aktiviti belia MBM di Cheras

Program turut diisi dengan sesi untuk golongan belia bertukar pandangan serta dapatkan inspirasi dan panduan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Y-HUB MBM di Cheras, Kuala Lumpur, semalam. (Gambar Istana Arau)
PETALING JAYA:
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Pusat Aktiviti Belia Setempat (Y-HUB) Majlis Belia Malaysia (MBM), pusat rekreasi dan ruang interaksi alternatif untuk anak muda di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

Program perasmian itu turut diisi dengan sesi interaksi yang memberi ruang kepada golongan belia untuk bertukar pandangan secara terbuka serta mendapatkan inspirasi dan panduan secara langsung.

Tuanku Syed Faizuddin juga buat pertama kalinya berangkat mengunjungi ibu pejabat MBM di Wisma Zelan, Bandar Tun Abdul Razak, sebagai pewaris takhta negeri, semalam.

Sempena program kayuhan dan sesi bersama belia anjuran MBM, baginda turut berangkat ke Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur untuk meluangkan masa beramah mesra dengan jurulatih serta para pemain pasukan The City Boys.

Selain itu, baginda turut menyaksikan sesi penyampaian sumbangan MBM sempena Tahun Baharu Cina dan menyambut Ramadan kepada bekas pemain pasukan Kuala Lumpur era 80an dan 90an, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka dalam arena bola sepak negara.

Tokoh lain yang hadir termasuk Azman Adnan, Tang Siew Seng, Subadron Aziz, Saidin Osman, Nazim Din, Kamarul Zaman Yusof dan Ramlan Askolani.

MBM berperanan memupuk kemajuan belia secara seimbang dalam aspek sosial, ekonomi, fizikal, mental, moral dan politik, selain menggalakkan semangat patriotisme, proaktif, kreativiti serta tanggungjawab dalam kalangan generasi muda.

Melalui pelbagai program dan inisiatif pembangunan, termasuk perhimpunan tahunan, dialog dasar belia serta kerjasama strategik bersama kerajaan dan pelbagai sektor, MBM terus memperkukuh suara dan peranan belia dalam arus pembangunan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.