Lumpuh bukan penghalang, kehilangan bukan titik henti bagi Wong

Lumpuh bukan penghalang, kehilangan bukan titik henti bagi Wong

Wong Li Wei mengusahakan perniagaan biskut secara kecil-kecilan dari rumah demi menyara kehidupan selepas kehilangan ibu bapa.

Wong Li Wei
Keterbatasan fizikal tidak menghalang Wong Li Wei berdikari.
PETALING JAYA:
Kehilangan demi kehilangan yang meragut kebahagiaan Wong Li Wei, 29, memaksanya terus tabah dan mencari kekuatan untuk berdikari demi kelangsungan hidup.

Rentetan duka itu bermula apabila wanita ini terjatuh dari tingkat lima sebuah bangunan pada 2014, mengakibatkan kecederaan saraf tunjang yang meragut fungsi pada kedua-dua kaki, pada usia semuda 18 tahun.

Dia diuji lagi dengan pemergian ibu bapa tersayang, masing-masing pada 2023 dan 2022, sekali gus melenyapkan tempat mereka sekeluarga bergantung.

“Kehilangan orang tua seorang demi seorang benar-benar menguji kekuatan mental saya, namun saya sedar bahawa saya tidak boleh terus meratapi nasib tanpa melakukan sesuatu,” katanya kepada FMT.

Wong nekad untuk tidak membiarkan diri terus hanyut dalam kesedihan, memulakan perniagaan biskut dari rumah, tahun lalu. Tanpa asas dalam bidang kulinari, Wong menuntut ilmu pembuatan biskut daripada seorang guru sukarela dari Persatuan Orang Cacat Cina Malaysia.

“Sebelum ini, saya pernah bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat akhbar berbahasa Cina serta firma guaman. Namun, tahun lalu saya memutuskan untuk memulakan perniagaan biskut.

Wong Li Wei
Wong Li Wei menyiapkan tempahan biskut oat cip coklat.

“Saya belajar membuat biskut oat cip coklat kerana resipinya mudah dan sedap. Tapi, saya mengubah suainya mengikut cita rasa sendiri,” ujarnya yang kini menetap berdua bersama abang.

Pergerakan yang terbatas menjadikan urusan keluar masuk kereta bersama kerusi roda satu cabaran yang memematkan. Biarpun melakukan segala-galanya sendirian, dia menyifatkan aktiviti membakar biskut sebagai satu bentuk terapi yang membantu merawat luka emosi.

Wong Li Wei
Penghasilan biskut satu bentuk terapi yang membantu merawat luka emosi Wong Li Wei.

Menjelang Tahun Baharu Cina, Wong menerima tempahan daripada rakan-rakan, sanak-saudara, dan masyarakat sekitar. Walaupun hasil jualan hanya mencecah RM1,000 ke RM2,000 sebulan, beliau masih gembira kerana mampu menguruskan kehidupan atas usaha sendiri.

“Jika saya boleh melakukannya, anda juga boleh. Jangan menyerah kalah kerana kekurangan fizikal bukanlah penghalang untuk kita terus berusaha,” pesannya.

Tahun Kuda 2026 mencerminkan semangat Wong yang terus melangkah, mencari sinar walau diuji keterbatasan dan cabaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.