
Beliau berkata, impak pandemik Covid-19 menyebabkan kedatangan kanak-kanak mendapatkan pelbagai imunisasi di klinik kesihatan menurun pada ketika itu kerana ibu bapa bimbang akan penularan Covid-19 sehingga tercicir tarikh janji temu.
“Sekiranya ibu bapa atau penjaga tidak pasti sama ada anak-anak mereka tercicir sebarang imunisasi, mereka boleh menghubungi atau terus ke klinik kesihatan berdekatan untuk semakan rekod imunisasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022, di sini.
Katanya, di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk bayi dan kanak-kanak terdapat 11 jenis produk vaksin diberikan untuk mencegah 13 penyakit termasuk Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, Difteria, Tetanus (Kancing Gigi), Pertussis (Batuk Kokol), Polio, Measles (Campak), Mumps (Beguk) dan Rubella.
Sementara itu, Azmi berkata, Kementerian Kesihatan bercadang mengadakan Program Jelajah Imunisasi mengikut zon yang akan dilaksanakan selewatnya pada hujung tahun ini bagi meningkatkan pencapaian liputan imunisasi serta meningkatkan pengetahuan umum tentang imunisasi serta vaksin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Dr Rose Nani Mudin, berkata lebih 795,000 kanak-kanak di bawah 15 tahun di Sabah sudah menerima vaksinasi lengkap bagi pelbagai jenis vaksin menerusi Program Imunisasi Kebangsaan, namun dianggarkan terdapat 79,000 kanak-kanak masih tercicir.
“Oleh itu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dengan kerjasama agensi lain akan meneruskan pemberian imunisasi sehingga jumlah kanak-kanak tercicir vaksin adalah pada tahap minima,” katanya lagi.
Pada majlis hari ini, dua petugas Klinik Kesihatan Pagalungan iaitu Mohd Qayyum Saiman dan Mohd Shazwi Manglun diberikan sijil penghargaan di atas usaha menyelamatkan bekalan vaksin Polio selepas terlibat insiden bot terbalik di Sungai Pagalungan, pada 10 Jul 2020.
Qayyum, 22, ketika ditemui berkata bot milik jabatan yang dikendalikan bersama Mohd Shazwi dari Salong membawa vaksin Polio terbalik di Sungai Pagalungan akibat terkena pokok yang tiba-tiba tumbang.
“Ketika kejadian air sungai deras dan banjir, apabila bot terbalik, kami hanya fikir selamatkan vaksin,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak turut menerima Anugerah Khas Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana mencapai liputan yang tertinggi secara purata bagi setiap daerah selain mencapai liputan dos penggalak melebihi 73%, termasuk daerah di pedalaman.
Sarawak juga mempunyai liputan tertinggi bagi PICKids iaitu satu-satunya negeri dengan liputan dos pertama melebihi 90%.