Jangka kesesakan di pusat pemeriksaan hingga akhir Jun, kata Imigresen Singapura

Jangka kesesakan di pusat pemeriksaan hingga akhir Jun, kata Imigresen Singapura

Antara 3 hingga 5 Jun, kira-kira 262,000 pengembara tiba sempena hujung minggu pertama cuti sekolah republik itu.

Sejak pembukaan semula sempadan darat pada 1 April, jumlah pelancong terbesar melintasi pusat pemeriksaan di Woodlands dan Tuas dapat dilihat pada hujung minggu pertama Jun.
PETALING JAYA:
Pengembara sepatutnya menjangkakan kesesakan lalu lintas di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sehingga penggal persekolahan Singapura yang akan bermula pada 27 Jun, kata Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) negara itu.

Katanya, situasi itu menyaksikan jumlah pelancong terbesar melintasi pusat pemeriksaan pada hujung minggu pertama Jun sejak pembukaan semula sempadan darat pada 1 April.

Menurut laporan portal berita Singapura, Today Online, ICA berkata, aliran trafik dilaporkan sesak sejak permulaan cuti persekolahan bulan Jun dengan kira-kira 262,000 pengembara masuk setiap hari dari 3 Jun hingga 5 Jun, iaitu hujung minggu pertama cuti sekolah republik itu.

Sementara itu, ICA turut menyaksikan purata harian 149,000 pengembara menjelang hujung minggu panjang merayakan Paskah (4-7 April), dengan jumlahnya meningkat kepada kira-kira 224,000 pengembara setiap hari ketika cuti panjang semasa cuti perayaan Hari Wesak (14-16 Mei).

“Oleh itu, pengembara boleh menjangkakan kelewatan perjalanan dalam tempoh ini dan dinasihatkan supaya menyesuaikan rancangan perjalanan mereka, jika boleh, bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

ICA berkata, mereka yang ingin melakukan perjalanan melalui pusat pemeriksaan darat dinasihatkan supaya mengambil kira masa tambahan untuk pelepasan imigresen, dengan pengembara terpaksa menunggu hampir dua jam setengah sebelum mereka dibenarkan masuk pada kemuncak cuti sekolah bulan Jun 2019.

ICA juga berkata, Jabatan Imigresen Malaysia telah menjalankan kerja-kerja menaik taraf pondok ketibaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar di pusat pemeriksaan Woodlands sejak 6 Jun, dengan pondok imigresen di kompleks itu tidak beroperasi semasa tempoh naik taraf.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.