
Menteri Keselamatan Singapura, K Shanmugam mengimbas kembali insiden rusuhan kaum pada 1964 apabila golongan ‘ultra’ meniupkan sentimen yang meninggalkan parut yang mengambil masa puluhan tahun untuk sembuh.
Istilah ‘ultra’ digunakan pada 1960-an bagi merujuk kepada ahli Umno yang dilihat berpegang kepada pandangan nasionalisme tegar.
“Sejarah hitam ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri sebahagian daripada kami, dan juga dalam diri sebahagian rakyat Malaysia — tetapi atas sebab yang sangat berbeza,” kata Shanmugam dalam satu ucapan di parlimen Singapura baru-baru ini.
“Jadi kami tahu kerajaan perlu menegur apabila pemimpin PAS secara terbuka menyokong sebuah parti politik di Singapura atas dasar kaum dan agama, dan ketika di tengah-tengah PRU.”
Kenyataan Shanmugam merujuk tindakan Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, dan Bendahari PAS pusat, Iskandar Abdul Samad, pada April lalu.
Sukri berkongsi hantaran oleh Zulfikar Shariff, bekas warga Singapura, yang menuduh beberapa Ahli Parlimen Melayu-Islam di negara itu gagal mewakili komuniti Islam.
Pada hari yang sama, Iskandar pula menyatakan sokongan terhadap seorang calon dalam pilihan raya Singapura.
Tindakan itu menyebabkan Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pilihan Raya Singapura menuduh kedua-dua pemimpin PAS itu cuba mempengaruhi pilihan raya republik itu pada 3 Mei, dengan hantaran yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama.
Pada Rabu lalu, PAS membalas kenyataan Shanmugam, dengan menuduh beliau cuba menjadikan parti itu sebagai ‘kambing hitam’ dan menafikan dakwaan PAS cuba mencampuri urusan politik Singapura.
Keesokan harinya, Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura pula membidas PAS atas kenyataannya yang bercanggah berhubung ulasan kedua-dua pemimpin itu.
Dalam ucapannya di parlimen, Shanmugam berkata ahli politik PAS menyokong satu kumpulan calon Melayu-Islam berbanding kumpulan Melayu-Islam lain, sambil menegaskan bahawa tindakan itu pasti beri kesan tertentu.
“Menjadi tanggungjawab semua parti politik untuk menolak sebarang cubaan oleh pihak asing untuk mempengaruhi pilihan raya kami — terutama atas dasar kaum dan agama,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada PAS benar-benar ambil berat tentang rakyat Singapura apabila menyokong calon Melayu-Islam daripada Parti Pekerja, dan meragui sama ada PAS menerima model masyarakat berbilang kaum dan agama di negara itu.
Katanya, kenyataan pemimpin PAS jelas menunjukkan sebaliknya.
“Sebagai contoh, pada 2024, presiden PAS berkata bahawa strategi (bekas perdana menteri Singapura) Lee Kuan Yew untuk menampilkan calon daripada pelbagai latar belakang etnik menyebabkan pengaruh politik Melayu semakin berkurangan di Singapura.”