
Jabatan berkenaan dalam kenyataan memaklumkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara itu dan tindakan sewajarnya telah diambil.
“Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang menyebut nama Perdana Menteri Singapura sebagai Lee Hsien Loong, sedangkan Perdana Menteri Singapura yang terkini ialah Lawrence Wong.
“Pengulas siaran juga menyebut nama Perdana Menteri Thailand sebagai Srettha Thavisin dan bukan Anutin Charnvirakul, perdana menteri Thailand yang terkini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan RTM akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta dalam ketepatan serta integriti dalam setiap maklumat yang disampaikan.
Majlis perasmian itu, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dihadiri oleh semua pemimpin Asean termasuk Prabowo.
Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.
Sidang Kemuncak Asean ke-47 berlangsung dari 26 hingga 28 Okt di bawah tema Kepengerusian Asean-Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
Terdahulu, menerusi kenyataan berasingan, Jabatan Penyiaran Malaysia turut memohon maaf atas kesilapan pengulas menyebut nama presiden Indonesia ketika siaran langsung majlis perasmian Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan pagi tadi.
“Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan presiden sekarang ialah Prabowo Subianto.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada presiden dan kerajaan Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini,” menurut kenyataan itu.