Bekas banduan ditahan terlibat curi 8 kenderaan di Cheras

Bekas banduan ditahan terlibat curi 8 kenderaan di Cheras

Suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan.

Sejumlah lapan kenderaan yang dipercayai dicuri oleh seorang lelaki tempatan di sekitar Cheras sejak enam bulan lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang bekas banduan yang baharu bebas dari penjara enam bulan lalu kerana kesalahan mencuri kenderaan, seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap atas kesalahan sama, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar berkata, lelaki warga tempatan berumur 46 tahun itu yang dibebaskan dari Penjara Kajang pada Januari lepas ditahan di kawasan perumahan Flat Sri Sabah kerana dipercayai terlibat kes kecurian lapan kenderaan di sekitar daerah itu sejak enam bulan lepas.

Menurut Muhammad Idzham, semakan mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah serta dipercayai aktif mencuri kenderaan di beberapa kawasan termasuk Cheras, Pudu, Sri Petaling dan Teluk Intan, Perak.

“Susulan tangkapan itu, polis mengesan dan merampas lapan kenderaan, iaitu empat Proton Iswara, dua Proton Saga, sebuah van Nissan Vanette dan sebuah Proton Wira,” katanya pada sidang media di IPD Cheras, semalam.

Muhammad Idzham berkata, suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jun dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Beliau menasihati anggota masyarakat supaya menjaga harta benda masing-masing terutama kereta yang diletakkan di luar kawasan kediaman dengan membuat kunci tambahan bagi mengelakkan kecurian.

Sebarang maklumat mengenai salah laku dan jenayah boleh disalurkan menerusi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di talian 03-92845050/5051 atau hotline Polis KL, 03-2115999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.