
CEO Kumpulan Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, tangkapan tersebut adalah hasil risikan dan siasatan menerusi ‘Ops Stroke’ yang bermula sejak 3 Sept tahun lepas.
Katanya, enam individu yang ditahan melibatkan orang berinsurans dan dalang yang dipercayai bersekongkol dalam pemalsuan dokumen bagi tujuan tuntutan faedah pencen ilat.
“Siasatan awal mendapati jumlah faedah yang dibayar akibat tuntutan palsu ini mencecah kira-kira RM220,000. Bagaimanapun, tindakan pantas Perkeso berjaya menyekat unjuran kerugian yang lebih besar.
“Jika sindiket pemalsuan dokumen ini tidak ditangani dengan segera, nilai kerugian dianggarkan menjangkau RM3.78 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman juga menasihatkan pencarum yang mahu membuat tuntutan berurusan terus dengan Perkeso bagi mengelakkan mereka dimanipulasi ejen atau sindiket.
“Perkeso sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada unsur manipulasi atau penipuan berlaku dan menyeru pencarum untuk sentiasa berlaku jujur serta amanah dalam mengemukakan sebarang tuntutan.
“Sebarang cubaan untuk mengemukakan dokumen palsu bukan sahaja akan menyebabkan tuntutan ditolak, malah individu terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.