NGO bimbang janji temu pakar psikiatri hospital kerajaan ambil masa lama

NGO bimbang janji temu pakar psikiatri hospital kerajaan ambil masa lama

Befrienders KL mendakwa, individu terbabit perlu menunggu hampir enam bulan untuk bertemu pakar di hospital kerajaan.

Pengarah Publisiti Befrienders KL, Ardy Ayadali berkata, bantuan profesional di Malaysia masih belum mencukupi kerana nisbah ahli psikiatri dengan pesakit amat rendah sekali. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan apabila masa menunggu untuk mendapatkan rawatan psikiatri di hospital kerajaan adalah terlalu lama, susulan peningkatan kes cubaan bunuh diri dan kes bunuh diri sejak kebelakangan ini.

Pengarah Publisiti Befrienders KL, Ardy Ayadali mendakwa, individu terbabit perlu menunggu hampir enam bulan untuk bertemu pakar di hospital kerajaan.

“Bantuan profesional di Malaysia masih belum mencukupi kerana nisbah ahli psikiatri dengan pesakit amat rendah sekali.

“Nisbah yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah seorang ahli psikiatri untuk 10,000 orang,” katanya.

Menurutnya, walaupun mereka boleh mendapatkan rawatan di klinik swasta, namun bukan semua mampu menanggung kos yang begitu mahal.

Katanya, kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mencari jalan bagi menangani kes bunuh diri yang berlaku ketika ini.

“Ia perlu dilakukan bagi mengatasinya dan bukannya sibuk mencari jalan penyelesaian ketika jumlah kes sudah menjadi terlalu tinggi,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata, kes bunuh diri di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 143% atau 638 kes dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun lalu berbanding 262 kes dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan kes itu juga dilihat pada 2020 dengan 631 kes berbanding 609 kes pada 2019.

Dalam pada itu, Ardy berkata, kerajaan boleh mengambil langkah pertama dengan mengutamakan program mengetengahkan isu kesihatan mental dan kemiskinan tegar yang mendorong kepada kes bunuh diri.

“Akses kepada bantuan dan sokongan emosi boleh dipermudahkan lagi kerana setakat ini hanya Talian Nur sahaja yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.