Campur tangan insurans dalam rawatan pesakit langgar undang-undang

Campur tangan insurans dalam rawatan pesakit langgar undang-undang

Menteri kesihatan berkata ia bercanggah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang menjamin tanggungjawab pengamal perubatan dalam merawat pesakit.

doctor patient freepik
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad timbul kebimbangan campur tangan pengendali insurans, takaful dan pentadbir pihak ketiga dalam pengurusan rawatan yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal doktor di hospital swasta. (Gambar Freepik)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan sebarang tindakan menggugat kebebasan pengamal perubatan dalam melaksanakan tanggungjawab merawat pesakit boleh ditafsirkan tidak konsisten dengan peruntukan undang-undang.

Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu dipandang serius susulan kebimbangan campur tangan pengendali insurans, takaful dan pentadbir pihak ketiga (TPA) dalam pengurusan rawatan yang berpotensi mempengaruhi keputusan klinikal doktor di hospital swasta.

Beliau berkata, sebarang bentuk campur tangan sedemikian bercanggah peruntukan bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) yang menjamin tanggungjawab profesional pengamal perubatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit.

“KKM memainkan peranan aktif menerusi Jawatankuasa Mekanisme Aduan Kesihatan (GMC), platform melibatkan pelbagai pemegang taruh, termasuk Bank Negara, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia, wakil syarikat insurans, pengendali takaful dan TPA bagi membincang serta mencari penyelesaian terhadap isu dibangkitkan.

“Ia sebuah jawatankuasa untuk membincang serta mencari penyelesaian tuntas bagi usaha yang dibangkitkan bersama pemegang taruh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Dzulkefly menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai status terkini pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) dalam industri kesihatan swasta serta langkah kawal selia dan pemantauan bagi memastikan pengendali insurans dan takaful tidak campur tangan dalam keputusan perubatan pakar serta doktor, selain mengekang tuntutan melampau hospital swasta.

Mengulas perkembangan pelaksanaan DRG, beliau berkata, 80 daripada 104 hospital swasta berdaftar telah menyertai latihan menerusi 23 sesi anjuran KKM melalui ProtectHealth Corporation dan ketika ini pelaksanaannya masih di peringkat pengumpulan data klinikal serta kewangan bagi membangunkan algoritma sistem itu.

Jelasnya, walaupun tiada peruntukan khusus mengenai DRG dalam Akta 586, pengumpulan data ketika ini dilaksanakan melalui surat pekeliling ketua pengarah kesihatan hasil sesi libat urus dengan pemegang taruh industri.

“Dapatan analisis ini kelak akan menentukan hala tuju pelaksanaan, termasuk kemungkinan penggubalan perundangan baharu berkaitan transformasi pembiayaan kesihatan.”

Menjawab soalan tambahan Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai kebimbangan hospital swasta hanya memilih kes mudah, beliau menjelaskan struktur pembayaran DRG mengambil kira tahap keterukan penyakit serta komplikasi pesakit, dengan prosedur lebih kompleks menerima bayaran lebih tinggi, sekali gus memberi insentif kepada hospital untuk mengendalikan kes sukar.

DRG ialah sistem pengelasan kes hospital yang mengelompokkan pesakit berdasarkan diagnosis, prosedur rawatan serta tahap keterukan penyakit bagi membolehkan penyeragaman kos dan kaedah pembayaran rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.