
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata pelajar wanita berusia 19 tahun itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL), lapor Bernama.
Kata Fadil, seorang kontraktor wanita berusia 54 tahun juga dirawat di hospital sama kerana kecederaan akibat serpihan besi dalam badan serta melecur, namun keadaannya dilaporkan stabil dan berada di bawah pemantauan doktor.
“Seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun iaitu pekerja kantin di universiti terbabit pula dirawat di Hospital Sungai Buloh untuk tujuan pemantauan walaupun tidak mengalami kecederaan serius, manakala enam mangsa lain dibenarkan pulang,” katanya.
Katanya, bomba sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian dan pihak polis akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penyaman udara di sebuah universiti swasta kira-kira 11.40 pagi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Soo Yu Juan, 24, pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).
Fadil dilaporkan berkata letupan dipercayai berlaku di kawasan penyelenggaraan penyaman udara yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat universiti berkenaan.