
Jurucakap pejabatnya, Sufi Yusoff, berkata Dr Mahathir telah menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 14 hari lalu.
“Pakar ketika ini berpuas hati dengan perkembangan pemulihan dan rawatan beliau sejak dimasukkan ke IJN.
“Bagaimanapun, proses pemulihan melalui fisioterapi ini dijangka mengambil masa yang agak panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sufi berkata Dr Mahathir dan keluarganya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan serta pemulihan tokoh politik veteran itu, selain memohon maaf kerana bekas Ahli Parlimen berkenaan belum dapat menerima kunjungan buat masa ini.
Mahathir terjatuh ketika melakukan senaman pagi rutin di kediamannya pada 6 Jan lalu, menyebabkan beliau mengalami patah tulang pinggul. Bekas presiden Umno itu berada dalam keadaan sedar ketika dibawa ke IJN.
Beliau hanya menjalani rawatan fisioterapi tanpa pembedahan, mengambil kira faktor usia lanjut.
Mahathir mempunyai sejarah penyakit jantung dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu telah beberapa kali dimasukkan ke IJN dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kali terakhir pada 13 Julai tahun lalu selepas mengalami keletihan ketika menghadiri acara berkelah dan potluck di Putrajaya bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 serta ulang tahun kelahiran isterinya, Dr Hasmah Ali, yang ke-99.