Dakwaan ‘kartel mamak’: Presma tuntut syarikat akhbar mohon maaf, tarik laporan

Dakwaan ‘kartel mamak’: Presma tuntut syarikat akhbar mohon maaf, tarik laporan

Presma memberi tempoh hingga 6 Jun ini untuk syarikat berkenaan memenuhi tuntutan itu, jika tidak mereka akan meneruskan tindakan undang-undang.

Presiden Presma Jawahar Ali Taib Khan (tengah) bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan sidang media susulan dakwaan wujudnya ‘kartel restoran mamak’.
KUALA LUMPUR:
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menghantar surat tuntutan (LOD) kepada sebuah syarikat akhbar supaya membuat permohonan maaf dan menarik balik laporan yang mendakwa wujudnya perniagaan “kartel restoran mamak”.

Presidennya Jawahar Ali Taib Khan berkata, surat tuntutan itu dihantar kepada syarikat berkenaan pada 27 Mei lalu.

Beliau memberi tempoh hingga 6 Jun ini untuk syarikat berkenaan memenuhi tuntutan itu, jika tidak Presma akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap syarikat berkenaan.

“Mengambil kira pandangan banyak pihak serta nasihat peguam, Presma akan mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar terbabit.

“Berpuluh-puluh laporan polis sudah dibuat di seluruh negara meminta siasatan segera diambil ke atas penerbitan berkenaan kerana memberikan maklumat salah serta menjejaskan imej pihak lain khususnya industri restoran mamak,” katanya dalam sidang media.

Artikel disiarkan pada 24 Mei lalu antara lain menyentuh keputusan kerajaan memansuhkan permit import (AP) serta corak perniagaan berbentuk kartel yang didakwa diamalkan oleh segelintir pemilik restoran mamak di negara ini.

Dalam pada itu, Jawahar turut menafikan dakwaan artikel berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.

Katanya, kedai mamak juga berusaha keras untuk menjalankan perniagaan mereka masa ini.

“Sama ada baharu berniaga atau menambah rangkaian perniagaan dengan inisiatif dan kesungguhan sendiri, bukannya ditentukan kartel seperti digambarkan,” katanya.

Beliau berkata, artikel itu memberi kesan negatif dan implikasi buruk masyarakat terhadap kedai mamak.

“Presma mengingatkan kepada rakan media supaya mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab agar lebih berhati-hati dengan sebarang penulisan serta komentar supaya tidak tersalah fakta sehingga boleh membawa kepada implikasi perundangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.