Armizan sangkal dakwaan MyCC hanya tumpu kes kurang kritikal, profil tinggi

Armizan sangkal dakwaan MyCC hanya tumpu kes kurang kritikal, profil tinggi

MyCC tumpu siasatan dan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama, termasuk tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kata Armizan Mohd Ali.

armizan
Menteri KPDN Hidup Armizan Mohd Ali beri contoh tindakan tegas MyCC dalam kes kartel tetap harga dengan syarikat terlibat dikenakan penalti kewangan RM550.13 juta.
KUALA LUMPUR:
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hanya memberi tumpuan kepada isu teknikal kurang kritikal dan mengejar kes berprofil tinggi tanpa impak langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, MyCC menumpukan penyiasatan dan penguatkuasaan terhadap tiga jenis kartel utama, iaitu tipuan bida dalam perolehan kerajaan, kartel dalam industri makanan dan produk pertanian serta kartel dalam perkhidmatan asas pengguna.

Katanya, bagi kartel penetapan harga, MyCC telah mengambil tindakan tegas antaranya terhadap lima syarikat yang terlibat dalam penghasilan dedak ayam dengan syarikat terbabit telah dikenakan penalti kewangan sebanyak RM550.13 juta.

“MyCC juga mengambil tindakan terhadap 150 penjual bunga di Cameron Highlands, 24 pengilang ais di Kuala Lumpur dan Selangor, tujuh pengusaha pusat tuisyen dan jagaan harian serta 22 syarikat insurans am,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagi kartel tipuan bida, Armizan berkata, MyCC telah mengambil tindakan antaranya terhadap lapan vendor teknologi maklumat (IT) yang terlibat dalam perolehan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan, tujuh pembekal peralatan penyelamat nyawa dalam perolehan tentera laut, lapan kontraktor dalam perolehan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran serta tiga kontraktor pengurusan fasiliti dalam perolehan di Perbadanan Putrajaya.

Ini melibatkan nilai perolehan sebanyak RM539.7 juta dengan jumlah keseluruhan penalti terhadap syarikat-syarikat itu berjumlah RM97.3 juta, katanya.

Selain itu, Armizan berkata, MyCC juga mengambil tindakan terhadap penyalahgunaan kedudukan dominan terhadap syarikat yang menyalahgunakan kuasa monopoli dalam pasaran insurans pas lawatan kerja sementara pekerja asing dengan penalti yang dikenakan berjumlah RM9.6 juta.

Sementara itu, katanya, jumlah kes penyelewengan bahan api RON95 menunjukkan penurunan selepas pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95), hasil pemantauan melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

“Laporan menunjukkan terdapat penurunan dalam kes petrol RON95 dengan 61 kes melibatkan 17,724 liter disita bagi tempoh 30 Sept hingga 29 Okt 2025, berbanding 71 kes dengan 32,229 liter disita bagi tempoh 31 Ogos hingga 29 Sept tahun ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.