
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Mohd Nor Yhazid Idris, berkata kejadian pada 11.45 malam berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun tidur bersama suspek, di sebuah bilik sama sebelum tiba-tiba terasa sakit.
“Sejurus tersedar mangsa mendapati sebilah pisau tertusuk pada dadanya lantas memanggil suaminya yang sedang tidur di ruang tamu.
“Mangsa kemudian tidak sedarkan diri selepas mencabut sendiri pisau terbabit pada dadanya sebelum dibawa ke Hospital Tengku Anis Pasir Puteh oleh suaminya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mangsa selepas itu dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk rawatan lanjut.
Nor berkata, doktor memaklumkan kesan tikaman mengakibatkan paru-paru mangsa bocor dan kehilangan banyak darah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa ditikam suspek menggunakan sebilah pisau diambil dari dapur rumah.
“Suspek yang juga anak ketiga dan masih belajar di sebuah sekolah menengah di Pasir Putih dikatakan mengalami demam sejak dua hari lalu dan memerlukan pemantauan daripada mangsa.
“Susulan kejadian itu, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya memaklumkan motif kejadian masih dalam siasatan.