Bekas PM Norway disiasat berkait rasuah dalam fail Epstein

Bekas PM Norway disiasat berkait rasuah dalam fail Epstein

Siasatan itu bagi menentukan sama ada Thorbjorn Jagland menerima hadiah, perjalanan dan pinjaman semasa berkhidmat sebagai setiausaha agung Majlis Eropah.

Thorbjorn Jagland EPA Images pic 7226
Bekas perdana menteri Norway Thorbjorn Jagland disyaki terbabit rasuah serius susulan pendedahan terbaharu dalam kes pesalah seks Jeffrey Epstein. (Gambar EPA Images)
STOCKHOLM:
Bekas perdana menteri Norway dan bekas setiausaha agung Majlis Eropah, Thorbjorn Jagland disiasat susulan pendedahan terbaharu dalam kes pesalah seks Jeffrey Epstein, lapor agensi berita Jerman dpa.

Rakyat Norway itu disyaki terbabit rasuah serius, menurut laporan agensi berita NTB pada lewat malam Khamis.

“Kami percaya ada asas mencukupi untuk menjalankan siasatan,” kata ketua pihak berkuasa jenayah ekonomi Norway, Pal K Lonseth.

Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada Jagland menerima hadiah, perjalanan dan pinjaman semasa berkhidmat sebagai setiausaha agung. NTB melaporkan maklumat daripada fail Epstein membayangkan beliau berbuat demikian.

Dokumen berkenaan dikatakan menunjukkan Jagland mempunyai hubungan dengan ahli perniagaan Amerika Syarikat (AS) itu antara 2016 hingga 2018, ketika beliau berkhidmat sebagai setiausaha agung Majlis Eropah dan ahli Jawatankuasa Nobel Norway. Jagland pernah mengetuai jawatankuasa itu dari 2009 hingga 2015.

Media Norway turut melaporkan Epstein dan Jagland dikatakan pernah membincangkan pembelian hartanah. Jagland juga dilaporkan merancang percutian bersama keluarganya ke pulau milik Epstein, namun rancangan itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Sebagai bekas setiausaha agung Majlis Eropah, Jagland mempunyai kekebalan daripada pendakwaan.

“Penting untuk kes ini diperjelaskan,” kata Menteri Luar Norway, Espen Barth Eide yang dipetik NTB.

“Sebab itu saya memutuskan Norway akan mengemukakan cadangan kepada Jawatankuasa Menteri Majlis Eropah untuk menarik balik kekebalan Jagland.”

Pendedahan terbaharu berkaitan Epstein turut menyorot perhatian terhadap beberapa rakyat Norway lain, selain Jagland.

Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit berdepan tekanan hebat sejak dokumen terbaharu didedahkan seminggu lalu. Beliau dikatakan pernah bertukar e-mel peribadi dengan pesalah seks yang disabitkan kesalahan itu selama beberapa tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.