Lembaga Kebajikan Haiwan terpisah dengan NGO, kata aktivis

Lembaga Kebajikan Haiwan terpisah dengan NGO, kata aktivis

Aktivis berkata, penting untuk Lembaga Kebajikan Haiwan berhubung dengan NGO, aktivis dan penyelamat untuk memahami situasi sebenar melibatkan kebajikan haiwan.

Pencinta haiwan membantu sesi fotografi Give of Paws untuk menghebahkan aktiviti kebajikan mereka. (Gambar Facebook BettyAnne Brohier)
PETALING JAYA:
Aktivis hak haiwan mendakwa Lembaga Kebajikan Haiwan yang ditubuhkan kerajaan tujuh tahun lalu, terputus hubungan dengan pihak yang terlibat secara langsung dalam menjaga kebajikan haiwan.

Karin Lee dari Give for Paws, sebuah persatuan membantu haiwan terbiar, berkata penting untuk lembaga itu berhubung dengan badan bukan kerajaan (NGO), aktivis dan penyelamat di lapangan untuk memahami situasi mendesak terhadap kebajikan haiwan di Malaysia.

“Ketika ini, kita mempunyai isu merangkumi pemilik haiwan peliharaan tidak bertanggungjawab dan pembiakan haiwan secara melulu.

“Terdapat keperluan untuk melaksanakan dasar pemandulan lebih ketat bagi haiwan terbiar berbanding cara kuno menangkap dan membunuhnya.”

Beliau berkata, dengan penglibatan NGO dan aktivis, Lembaga Kebajikan Haiwan mempunyai peluang lebih baik untuk menangani sikap tidak peduli terhadap haiwan di negara ini.

Katanya, Malaysia tiada kekurangan dari segi undang-undang, bajet dan struktur untuk menguruskan kebajikan haiwan secara berkesan dan berperikemanusiaan. Bagaimanapun, apa yang kurang ialah keberkesanan penguatkuasaan, etika kerja dan keazaman politik.

Lembaga itu mendapat perhatian minggu lalu apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan ia mendedahkan aktivitinya sejak ditubuhkan.

Perintah mahkamah itu diperolehi peguam hak haiwan, Rajesh Nagarajan yang memfailkan saman penzahiran, apabila ia enggan mendedahkan aktivitinya kepada beliau.

Rajesh berkata, lembaga itu menyatakan maklumat mengenai aktivitinya tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi mengarahkan lembaga itu mengemukakan laporan aktiviti yang memperincikan kerjanya sejak ditubuhkan.

Seorang lagi aktivis, Ranjit Kaur Mendhir dari Noah’s Ark Ipoh, berkata kurangnya pengetahuan orang ramai tentang aktiviti lembaga itu selama bertahun-tahun menunjukkan ia mempunyai sikap acuh tidak acuh dalam meningkatkan kebajikan haiwan.

Ranjit, dari persatuan yang memberi tumpuan mengurangkan populasi kucing dan haiwan terbiar di Ipoh, tidak nampak sebarang sebab untuk lembaga itu menyatakan aktivitinya terletak di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Katanya, salah satu fungsi lembaga itu adalah menguatkuasakan Akta Kebajikan Haiwan dan beliau mempersoalkan apakah pencapaian mereka selama ini.

Lembaga itu adalah badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan dan bertanggungjawab mempromosi kebajikan haiwan, menyediakan pendidikan awam dan menasihati kementerian berhubung perkara berkaitan kebajikan haiwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.