Kerinduan Zarif terubat dengan kasih ‘Keluarga Malaysia’

Kerinduan Zarif terubat dengan kasih ‘Keluarga Malaysia’

Kehilangan ayah kerana Covid-19 beri luka mendalam pada Zarif Adam Hishammuddin, namun sokongan Yayasan Keluarga Malaysia di bawah jagaan Ismail Sabri Yaakob sedikit sebanyak isi kekosongan itu.

Ismail Sabri
Zarif Adam Hishamuddin menghargai bantuan diberikan oleh Yayasan Keluarga Malaysia di bawah jagaan Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Setiap kali melihat rakan sebaya bergurau senda dengan ayah mereka, hati Zarif Adam Hishamuddin mudah terusik. Rasa cemburu itu hadir kerana sejak 14 Julai 2021 dirinya tidak lagi mempunyai peluang itu.

Pada tanggal itu, ayahnya Hishamuddin Mohamed menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh akibat Covid-19.

Ketika ambulans membawa ayahnya pergi beberapa hari sebelum itu, Zarif tidak sempat memeluk atau mengucapkan selamat tinggal kerana terpaksa dikuarantin bersama ibu Rafidah Mohd Arif serta dua adiknya.

Dibatasi cermin di bilik pengurusan jenazah, Zarif yang berusia 13 tahun ketika itu dapat melihat proses mandi jenazah secara tayamum sebelum menunaikan solat jenazah serta berpeluang memanjatkan doa untuk insan tersayangnya terbabit

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan sumbangan daripada YKM kepada Ahmad Hadzumi Nordin di Pasir Mas, Kelantan, Januari lalu. (Gambar Yayasan Keluarga Malaysia)

“Tetapi saya kesal, tidak dapat cium atau peluk jenazah arwah ayah,” katanya mengimbau semula saat sebelum ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) Taman Selaseh, dekat Gombak.

Kenangan pahit itu kekal membekas. Zarif mengaku, kadang-kadang timbul rasa cemburu melihat rakan-rakan dapat bercuti, berbual, atau sekadar berjalan bersama ayah masing-masing.

Namun, kekosongan itu sedikit terisi apabila dipilih sebagai anak angkat Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) di bawah jagaan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob, yang terkenal dengan sikap penyayang terhadap anak-anak yatim akibat Covid-19.

Melalui YKM, Zarif berpeluang menyertai Kem Semarak Harapan Anak Bangsa anjuran YKM di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mei lalu yang mengajarnya menjadi lebih berani, yakin diri dan berdikari, – sesuatu yang lazimnya dididik insan bergelar ayah.

“Saya dapat pengalaman baharu seperti memanah, berkuda, baca doa dan beri tazkirah depan kawan-kawan.

“Dulu pemalu, tapi lepas balik dari kem rasa bangga sebab boleh lakukannya,” kata murid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah itu.

Selain sokongan emosi, bantuan kewangan dan perhatian daripada YKM banyak meringankan beban Zarif serta ibunya.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri (Ismail Sabri) kerana bantu dari segi perbelanjaan sekolah. Waktu bulan puasa dan raya beliau bawa kami membeli baju raya, kasut dan sebagainya,” katanya ditemui FMT dalam temu bual.

Bersama Zarif Adam dalam temu bual itu, Ismail Sabri pula berkata ketika ini YKM mempunyai lebih 1,000 anak angkat yang dibantu supaya mereka dapat berdikari pada masa depan.

Menurut pengerusi YKM itu peningkatan itu selepas semakin ramai menyedari inisiatif pihaknya dalam membela anak yatim akibat Covid-19 menerusi sesi turun padang serta penganjuran Larian Keluarga Malaysia bermula tahun lalu.

“Pada peringkat awal ada 405 anak angkat berusia bawah 16 tahun manakala 216 ke atas, bila kita turun padang melawat anak yatim di Kelantan, Sabah dan Sarawak…kita banyak terima pendaftaran baharu,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan lebih banyak pihak seperti korporat untuk membantu YKM memandangkan pihaknya telah mengatur pelbagai program khusus untuk menjadikan anak angkat di bawahnya mampu berdikari pada masa depan.

“Kalau dulu mungkin program pendidikan sekali setahun dan sekarang ini kita tengok perkembangannya bagus.

“Ramai di kalangan mereka berjaya dalam peperiksaan, kita hendak perbanyakkan lagi program-program itu yang memerlukan dana besar,” katanya.

Dilancarkan pada November 2021 ketika pentadbiran Ismail Sabri, YKM ditubuhkan khusus untuk membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Yayasan itu berperanan menyediakan sokongan kewangan, pendidikan serta bimbingan psikososial agar golongan ini tidak tercicir dalam kehidupan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.