
Perdana menteri berkata, rejim tersebut berterusan menyasarkan kanak-kanak, wanita, hospital serta sekolah di wilayah itu, termasuk menyekat bantuan kemanusiaan membawa kebuluran sebagai senjata perang.
“Apa jenis manusia … ini bukan manusia, ini haiwan, orang lapar, mati kebuluran, bantuan makanan di sempadan tak boleh masuk … orang sakit perlu ubat,” katanya ketika berucap pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka.
“Saya sudah berusia 78 tahun, belum pernah melihat, baca, dan dengar (mengenai tindakan dilakukan Israel kepada Gaza) zaman ini bahawa ada manusia sekejam itu.
“Netanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman! Zalim! Mereka boleh pertahankan bahawa semua anak-anak kecil (di Gaza) semuanya adalah Hamas, anak berusia dua tahun yang berlari pun ‘ini Hamas’. Ini penyakit.”
Anwar menegaskan, serangan ke atas Gaza sudah berlarutan berdekad lamanya.
“Pembunuhan wanita, anak-anak, malu dunia sekarang. Mana mungkin negara merdeka berbicara soal hak asasi, bicara soal keadilan, tapi ada rakyat diterajang, dibunuh. Dunia gagal sistemnya. Bukan satu hari, bukan seminggu, berbulan, bertahun,” katanya.
“Saya tanya kepala-kepala negara Eropah, Amerika Syarikat, dan lain-lain apakah kita berjuang, bolehkah kita terima penjajahan? Mengapa dalam soal Gaza, penjajahan diizinkan? Apakah kita terima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita?”
Dalam lawatannya ke negara luar, katanya, isu Palestin terus dibangkit supaya dunia bersama mencari jalan menyelesaikan konflik itu.
“Mana-mana saya pergi, saya tidak pernah tinggalkan saudara kita di Gaza dan Palestin. Jangan rasa mengalah. Kadang-kadang mengecewakan, kadang-kadang merasakan tidak ada harapan, tetapi percaya dengan pertolongan Allah, kita akan berjaya,” katanya.