Kanak-kanak 6 tahun cedera diserang anjing di Cheras

Kanak-kanak 6 tahun cedera diserang anjing di Cheras

Polis berkata kejadian berlaku ketika kanak-kanak itu menunggang basikal berhampiran kawasan rumahnya.

Naazron Abdul Yusof
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata anjing itu sudah ditangkap penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang dan siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada haiwan itu berdaftar atau tidak. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera digigit anjing ketika menunggang basikal di jalan berhampiran kawasan rumahnya di Batu 9, Cheras, Selangor, semalam.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang apabila anjing yang berada di kawasan berkenaan menyerang dan menggigit mangsa.

“Tindakan pantas beberapa jiran yang datang membantu berjaya menghalau anjing berkenaan.

“Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dikejarkan ke hospital dan kini dirawat di wad kanak-kanak Hospital Kajang serta berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan.

Naazron berkata susulan kejadian itu, anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menangkap anjing tersebut dan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada haiwan itu berdaftar sebagai haiwan peliharaan atau sebaliknya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41(1) Akta Binatang 1953.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817 atau IPD Kajang di talian 03-89114222 atau balai polis berhampiran.

Sementara itu, seorang saksi Mohd Firdaus Md Isa berkata sebelum kejadian anjing berkenaan kelihatan berada di bawah sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan.

“Ketika kanak-kanak itu yang sedang menunggang basikal menghampiri kereta berkenaan, secara tiba-tiba anjing itu keluar dan menyerangnya,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu, tular di media sosial video yang memaparkan seorang kanak-kanak diserang anjing di kawasan perumahan sebelum dibantu oleh beberapa individu berada di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.