2 wanita maut akibat rabies di Sarawak

2 wanita maut akibat rabies di Sarawak

Seorang dijangkiti wabak itu selepas dicakar kucing terbiar pada Julai manakala seorang lagi digigit anjing bulan lalu.

Jumlah kumulatif rabies dalam kalangan manusia sejak wabak diisytiharkan di Sarawak pada Julai 2017 sehingga kini 87 kes dengan 80 kematian. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kematian baharu akibat rabies direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak pada Jumaat.

Kes pertama membabitkan wanita berusia 22 tahun di Petra Jaya yang dicakar kucing terbiar pada Julai dan kematian kedua melibatkan wanita berusia 67 tahun mempunyai sejarah digigit anjing terbiar pada 30 Ogos di Batu Kawa.

Dalam kenyataan, JKN Sarawak berkata kedua-dua mangsa mengalami gejala seperti demam, lemah badan, sakit perut, mual dan kurang selera makan dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia akibat wabak itu.

Katanya, dengan pertambahan kes itu jumlah kumulatif rabies dalam kalangan manusia sejak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah 87 kes, dengan 80 kematian (kadar kematian 92.0%).

Menurutnya, daripada jumlah itu empat kes dilaporkan tahun ini iaitu penurunan sebanyak dua kes berbanding tempoh sama pada 2024.

JKN Sarawak menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan mengambil langkah pencegahan antaranya elak risiko gigitan, cakaran atau pendedahan kepada air liur anjing atau kucing terbiar dengan tidak mendekati haiwan tersebut.

“Segera cuci luka gigitan/cakaran atau bahagian tubuh/mukosa yang terdedah kepada air liur haiwan (termasuk haiwan peliharaan sendiri) di bawah air mengalir dan sabun sekurang-kurangnya 15 minit, kemudian dapatkan rawatan di Post-Bite Clinic.

“Jangan mengendalikan bangkai haiwan terbiar atau peliharaan sendiri yang mati dengan punca kematian tidak diketahui. Laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pemilik haiwan peliharaan iaitu anjing dan kucing digesa memberikan vaksinasi antirabies lengkap setiap tahun dan jangan membiarkan ia berkeliaran tanpa pengawasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.