Pergerakan saya dipantau rapi, bahkan ke tandas, kata bekas pengerusi 1MDB

Pergerakan saya dipantau rapi, bahkan ke tandas, kata bekas pengerusi 1MDB

Mohd Bakke Salleh berkata, pergerakannya dipantau rapi pada hari 1MDB menandatangani projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd.

Mohd Bakke Salleh berkata berkata, seorang kakitangan 1MDB memantau pergerakannya sejurus tiba di pejabat sehinggalah beliau meninggalkan majlis pemeteraian perjanjian projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd.
KUALA LUMPUR:
Bekas pengerusi 1MDB, Mohd Bakke Salleh memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa pergerakannya dipantau rapi bahkan hingga ke tandas pada hari 1MDB menandatangani perjanjian projek usaha sama dengan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Bakke, 68, berkata, insiden itu berlaku di pejabat 1MDB pada 2009.

“Sebenarnya pada masa itu, saya tidak lagi berada dalam Lembaga Pengarah. Saya dijemput untuk menghadiri majlis itu pada November 2009 berkaitan Lembaga Pengarah dan pemegang saham 1MDB.

“Majlis itu, yang diketuai Shahrol Azral Ibrahim Halmi, turut dihadiri beberapa ahli pengurusan 1MDB serta Putera Turki (Abdullah Al Saud dari Arab Saudi) dan Najib Razak,” kata saksi pendakwaan ke-15 itu ketika disoal balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, dalam perbicaraan kes bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.

Ditanya sama ada beliau menemui Najib dalam majlis itu, Bakke berkata: “Tidak, pergerakan saya dipantau oleh seorang kakitangan 1MDB sejurus tiba di lokasi pejabat itu sehinggalah saya beredar meninggalkan majlis tersebut, malah ketika saya ke tandas.”

“Selepas saya meletak jawatan, saya tidak mahu terlibat dengan 1MDB. Ia adalah sesuatu yang ingin saya lupakan, apa sahaja yang berkaitan dengan 1MDB, saya tidak berminat ambil tahu. Saya tidak cuba berjumpa dengan Najib dalam majlis itu.”

Mahkamah turut diberitahu bahawa Bakke menemui ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang ditemani bekas yang dipertua Dewan Negara, Abu Zahar Ujang, buat pertama kali seawal 2007 di pejabatnya di Felda Holdings.

“Mereka membentangkan satu cadangan berkaitan projek tenaga diperbaharui. Kami mengadakan dua atau tiga mesyuarat dengan mereka. Felda kemudian membuat keputusan memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan mereka yang ditandatangani di hadapan Najib.

“Bagaimanapun usaha sama itu tidak menjadi kenyataan kerana mereka tidak memenuhi syarat-syarat MoU itu,” katanya selain menambah bahawa ketika itu, beliau tidak mempunyai sebarang syak wasangka terhadap Jho Low atau Abu Zahar.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.