
Ia selepas kerajaan memutuskan untuk melarang penggunaan kenderaan itu membabitkan tiga kategori di atas jalan raya berkuatkuasa serta-merta.
Presiden Persatuan Kenderaan Mikromobiliti Malaysia, Edi Khushairy Ab Kadir, berkata ada warga emas yang menggunakan kenderaan elektrik (PEV) untuk ke kedai dan rumah ibadat berdekatan, selain penghantar barang yang melakukan perjalanan dalam jarak beberapa kilometer.
Katanya, ia kerana kenderaan itu menjimatkan kos dan tidak menyebabkan pencemaran bunyi serta bau.
“Kebanyakan yang menjadi tular sebelum ini adalah melibatkan penyewa rekreasi di Kuala Lumpur. Mereka tidak mengikut garis panduan dan menggunakan kenderaan itu dengan sewenang-wenangnya di atas jalan tanpa kelengkapan keselamatan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata PEV boleh digunakan secara selamat, termasuk digunakan oleh syarikat keselamatan untuk melakukan rondaan di sekitar taman perumahan dan kilang.
“Apa yang menyedihkan ialah banyak berita dilaporkan hanya mengenai penyewa rekreasi ini,” katanya.
Ketika mengumumkan keputusan itu, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, berkata larangan dibuat menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (Kaedah) yang sudah berkuat kuasa pada 17 Disember.
Beliau berkata, tiga kategori itu termasuk moped, alat mobiliti peribadi (personal mobility device atau PMD) iaitu skuter berkuasa elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman atau pun kuasa manusia yang mempunyai kelajuan maksimum 50km sejam, serta alat bantuan mobiliti peribadi (personal mobility aid atau PMA).
Edi berkata mereka menyokong hasrat mengurangkan risiko kemalangan dan mencadangkan kerajaan memberikan kebenaran khas bagi kegunaan bukan rekreasi serta melesenkan penggunaan PEV.
“Larangan itu boleh dikenakan pada individu. Kami sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu ini,” katanya yang menambah terdapat lebih 25 kedai yang membekalkan PEV di Malaysia.
Sementara itu, pakar keselamatan jalan raya daripada Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Law Teik Hua berkata, reka bentuk dan kelajuan kenderaan itu tidak sesuai digunakan di atas jalan raya.
“Pengguna boleh terdedah kepada risiko bahaya apabila ia digunakan tanpa menghadiri sebarang kursus di institut memandu, ilmu asas pengendalian kenderaan mikromobiliti dan peraturan lalu lintas,” katanya.