
Beliau berkata arahan tersebut, yang terkandung dalam satu pekeliling dalaman ditandatangani Setiausaha Agung Azmin Ali, bercanggah dengan hak dan kebebasan ahli yang dijamin di bawah undang-undang negara.
Pekeliling berkenaan, yang kini tular di media sosial, memberi peringatan kepada ahli Bersatu untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk penganjuran, perjumpaan, dan perbincangan dengan individu yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti.
Pekeliling itu disahkan oleh Adun Bersatu, Dr Afif Bahardin kepada FMT.
Pekeliling tersebut tidak menyebut mana-mana individu secara khusus. Ia dikeluarkan 10 hari selepas Bersatu menggantung keahlian Wan Fayhsal serta memecat Ahli Parlimen Machang, Wan Saiful Wan Jan, dan empat ketua bahagian.
Dalam satu kenyataan petang ini, Wan Fayhsal berkata arahan itu bercanggah dengan Perlembagaan yang menjamin hak untuk berpersatuan dan kebebasan bersuara.
“Dengan melarang ahli daripada berinteraksi, berbincang, atau menghadiri program yang melibatkan individu tertentu, surat tersebut secara tidak langsung menyekat hak warganegara untuk bersosialisasi dan bertukar pandangan secara bebas di luar ruang parti.
“Ini jelas bertentangan dengan semangat demokrasi yang menjadi asas pembentukan negara,” katanya.
Wan Fayshal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, tiada peruntukan dalam Akta Pertubuhan yang beri kuasa kepada mana-mana pegawai parti untuk mengawal kehidupan peribadi, hubungan sosial atau aktiviti awam ahli di luar konteks rasmi parti.
Katanya, akta itu menghendaki setiap pertubuhan berdaftar beroperasi secara demokratik, telus dan tidak menindas hak keahlian
“Oleh itu, surat pekeliling ini boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kuasa dalaman,” katanya.
Wan Fayhsal berkata, arahan tersebut juga menimbulkan suasana takut dalam kalangan ahli dan boleh digunakan untuk menekan perbezaan pendapat politik.
Tegasnya, ia wajar dilaporkan kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.
FMT menghubungi Azmin untuk mendapatkan komen.