Lelaki Indonesia mengamuk, bakar kereta peronda polis

Lelaki Indonesia mengamuk, bakar kereta peronda polis

Seorang anggota polis turut cedera akibat dipukul suspek.

Keadaan MPV yang musnah 100% akibat dibakar seorang lelaki warga Indonesia.
PETALING JAYA:
Seorang warga Indonesia yang mengamuk di kawasan rumah kongsi matau balak Kampung Selengkong di Nenasi, Pekan, semalam bertindak membakar sebuah kereta peronda polis (MPV).

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, seorang anggota polis turut cedera akibat dipukul ketika menahan suspek.

Ketua Polis Daerah Pekan, Mohd Zaidi Mat Zin berkata, dua anggotanya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan kejadian amuk melibatkan seorang lelaki.

“Apabila sampai di tempat kejadian, polis menemui suspek seorang diri dan semasa pemeriksaan, suspek bertindak agresif dengan memukul dan mencederakan anggota polis.

“Suspek kemudiannya masuk ke dalam rumah kongsi dan mengambil satu objek menyala seperti api, sebelum membaling ke dalam kereta pasukan yang ketika itu terdapat seorang anggota polis,” katanya menurut laporan Kosmo.

Beliau berkata, anggota polis dalam MPV itu sempat menyelamatkan diri dan suspek melarikan diri ke hutan berhampiran.

Katanya, operasi mengesan suspek giat dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan membakar kenderaan polis menggunakan api.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, enam anggota dan seorang pegawai bersama dua jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 11.47 malam.

“Kebakaran dipadam menggunakan satu aliran hos dari tangki pam jentera bomba dan kenderaan terbakar 100%,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.