
Tentera laut dalam kenyataan memaklumkan penyaluran maklumat yang pantas menerusi Pusat Kawalan Maritim (MCC) Barat telah mengatur gerak aset terhampir, iaitu Kapal Diraja (KD) Jebat untuk ke lokasi pengesanan awal BNA itu di sekitar perairan selatan Pulau Perak.
“Setiba di posisi pengesanan, KD Jebat mempamerkan kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas tiga buah BNA di lapangan dan kekal membayangi BNA sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.
“Baki 18 buah BNA lagi yang dilaporkan dipercayai meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, pesawat B200T (RMF 377) milik tentera udara telah mengesan keberadaan 21 buah BNA berkenaan di dua posisi berbeza, iaitu pada 36 batu nautika selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.
“Maklumat pengesanan lantas disalurkan kepada komponen maritim bagi tujuan tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak akan berkompromi terhadap aktiviti yang melibatkan keselamatan dan ketidakpatuhan undang-undang negara.