
Joanne Lin, felo kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute Singapura berkata, kod itu pasti antara keutamaan pengerusi baharu Asean berkenaan memandangkan ketegangan maritim antara bakal pengerusi Asean itu dengan China.
Lin berkata, walaupun Manila akan mendesak untuk kod tatalaku yang mengikat dari segi undang-undang, pelaksanaannya mungkin tergendala akibat China dan Asean tidak bersetuju mengenai isu utama berkait Laut China Selatan seperti tafsiran undang-undang antarabangsa dan aktiviti yang dikawal selia di bawah kod berkenaan.
“Jadi sekalipun Filipina cuba memastikan proses itu diselesaikan segera, masih perlu realistik. Sebarang kejayaan bergantung kepada sama ada Beijing sanggup mengubah pendirian yang dipegangnya sejak sekian lama,” katanya kepada FMT.
Katanya, Asean juga berdepan pertelingkahan dalaman. Memandangkan sifat berstruktur perbalahan maritim, beliau melihat sukar untuk memuktamadkan perjanjian yang mengikat dari segi undang-undang dalam masa terdekat.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di The Hague memutuskan China tiada asas untuk menuntut pemilikan wilayah di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, Beijing terus mendakwa kedaulatan terhadap hampir seluruh wilayah maritim itu yang beberapa kali membawa kepada pertelingkahan khususnya antara kapal Filipina dan China.
China juga menceroboh kawasan zon ekonomi eksklusif (EEZ) berhampiran Sabah dan Sarawak, termasuk kejadian tahun lalu melibatkan tiga kapal pengawal pantai China berhampiran kawasan operasi Petronas.
Menurut Inisiatif Ketelusan Maritim Asia sekurang-kurangnya satu kapal pengawal pantai China menceroboh dan beroperasi di perairan Malaysia setiap hari antara 1 Jan dan 27 Sept tahun lalu.
Malaysia juga berdepan cabaran aktiviti nelayan haram dan tidak terkawal oleh kapal Vietnam dan China di EEZ, termasuk ada antaranya tidak dilaporkan.
Thomas Benjamin Daniel dari Institut Strategik dan Pengajian Antarabangsa Malaysia berkata, jelas beberapa negara Asean teragak-agak dalam memuktamadkan kod berkenaan, khususnya kerana bimbang akan mencetuskan tindak balas negatif Beijing.
Katanya, sekiranya hanya satu negara anggota Asean sekalipun menangguhkan atau tidak bersetuju dengan kod tatalaku itu, cukup untuk membantutkan usaha menyelesaikan perkara berkenaan pada 2026.
“Walaupun kod berkenaan dapat meredakan ketegangan di kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, ia juga berpotensi mengurangkan fleksibiliti strategik mereka, khususnya mengambil kira kehadiran dan dominasi China di kawasan terlibat,” katanya.
Daniel berkata beliau tidak melihat negara Asean terlibat dapat mengambil langkah lain untuk menangani pertelingkahan wilayah di Laut China Selatan selain menerusi kod tatalaku. Katanya, negara terlibat bukan saja tidak percaya kepada China malah juga sesama mereka.
“Seeloknya jika rundingan dilakukan dengan niat baik, telus dan berasaskan undang-undang serta norma antarabangsa. Namun saya tidak lihat ini boleh berlaku.”
Peranan utama Malaysia pada 2026
Bagaimanapun, Malaysia masih akan memainkan peranan penting dalam rundingan kod tatalaku ini kerana terus bertindak sebagai penyelaras hubungan Asean-China sehingga 2027.
Daniel berkata, Malaysia akan terlibat secara aktif dalam rundingan tahun depan dengan menyelaraskan rundingan antara Asean dan China, malah beberapa tarikh akhir penting telahpun ditetapkan.
Bagaimanapun, katanya, sekalipun apa yang akhirnya dimuktamadkan amat bernilai, ia berkemungkinan “sekadar dokumen Asean biasa”, yang sekadar bersifat deklaratif dan samar.
“Masa akan menentukannya,” katanya.
Lin tegas berpendapat kod tatalaku itu masih alat penting ke arah kestabilan serantau, namun bentuknya perlulah realistik dan pragmatik.
Beliau memuji Putrajaya kerana bersikap konsisten dan mengekalkan momentum rundingan apabila memastikan ia diteruskan selain memastikan keadaan kekal tenang.
“Walaupun tiada kejayaan besar di bawah kepengerusiannya, ini lebih disebabkan kekangan struktur dan bukannya kerana Malaysia kurang berusaha, malah sebenarnya ia terus memastikan isu itu tidak dilupakan.”
Beliau mencadangkan supaya Asean melihat kepada perjanjian berbentuk modular atau berasaskan isu yang boleh membantu dalam menguruskan sebarang risiko atau kejadian tidak diingini bersama China. Sebagai contoh beliau memetik perjanjian berkait kaedah menguruskan kejadian negatif serta protokol dalam interaksi penguatkuasaan undang-undang di perairan itu.
“Ini boleh dilengkapi menerusi rondaan bersama atau terselaras, dan kesedaran domain maritim menerusi perkongsian maklumat.
“Ini boleh dilengkapi dengan rondaan bersama atau terselaras, kesedaran domain maritim yang lebih baik melalui maklumat yang dikongsi, dan pembinaan kapasiti dengan rakan kongsi untuk mengurangkan asimetri dengan China.
“Nilai kod tatalaku ini bukan saja terletak pada segi teks perundangan tetapi juga relevannya Asean sebagai penstabil,” katanya.