Tiada kesan cedera kes terbaharu mati dalam tahanan, kata polis

Tiada kesan cedera kes terbaharu mati dalam tahanan, kata polis

Punca kematian masih belum dapat dikenal pasti dan sampel diambil bagi tujuan ujian makmal dan analisa untuk siasatan lanjut.

Tahanan berkenaan yang direman atas dakwaan kesalahan dadah didapati tidak sedarkan diri di lokap balai polis Kajang pada Rabu.
PETALING JAYA:
Tiada sebarang kecederaan dikesan pada mayat tahanan yang mati di lokap balai polis Kajang pada Rabu, susulan bedah siasat, kata polis.

Polis berkata, punca kematian tahanan – yang ke-15 tahun ini – masih belum dapat dikenal pasti dan sampel telah diambil bagi tujuan ujian makmal dan analisis bagi siasatan lanjut.

“Kematian banduan itu telah diklasifikasikan sebagai ‘kematian mengejut’,” kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Azri Ahmad, dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan JIPS akan meneruskan siasatan dari pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Azri berkata, tahanan berusia 45 tahun tersebut “dilihat mengalami sawan” oleh kakitangan bertugas di lokap balai polis Kajang.

Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Tahanan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di lokap sebelum dihantar ke balai polis Satelit Beranang untuk direman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.