Padah gagal lapor rasuah, CEO didenda RM80,000

Padah gagal lapor rasuah, CEO didenda RM80,000

Lim Eng Hoong mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pilihan gagal melaporkan pemberian rasuah kepada SPRM.

Hakim menjatuhkan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan itu dan penjara empat bulan, jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini mendenda ketua pegawai eksekutif (CEO) pembekal kandungan bagi sebuah syarikat telekomunikasi sebanyak RM80,000 kerana gagal melaporkan pemberian rasuah berjumlah RM26,000.

Lim Eng Hoong, 46, mengaku bersalah atas lapan pertuduhan pilihan gagal melaporkan permintaan wang daripada kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi, K Theva Kumar, pada Januari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lapan pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 membabitkan rasuah berjumlah RM26,000.

“Pemberian wang itu sebagai balasan kerana memberi maklumat aduan pelanggan syarikat telekomunikasi bagi Elite Entertainment Sdn Bhd daripada portal sistem perkhidmatan pengurusan pelanggan syarikat telekomunikasi terbabit,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Hakim Rozina Ayob mengenakan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan pilihan itu dan penjara empat bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda sebanyak RM80,000.

Mahkamah turut “take into consideration (TIC)” baki 18 pertuduhan mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Asri Abd Rahman Sidik, manakala tertuduh diwakili peguam Emily Tan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.