
William Bong, 58, yang didakwa melakukan semua kesalahan antara Jun 2019 hingga Jan 2021 di pejabatnya di Jabatan Kerja Raya di Kuching, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim.
Dia berdepan 13 pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bong juga berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen sebut harga yang diketahui palsu sebagai tulen bagi sebuah syarikat kontraktor tempatan, yang dipercayai dimiliki oleh saudaranya.
Terdahulu, peguam Francis Teron memohon mahkamah mempertimbang jaminan rendah dengan mengambil kira gaji anak guamnya sebanyak RM4,900 dan perlu menanggung tiga anak serta ibu bapa yang sudah uzur manakala isterinya merupakan suri rumah sepenuh masa.
Beliau juga berkata tertuduh tidak mampu membayar jumlah jaminan tinggi dan tempoh perkhidmatannya hanya berbaki setahun setengah lagi sebelum bersara selain tiada alasan untuk melarikan diri.
Pendakwaan, yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee serta Pegawai Pendakwa SPRM iaitu Jawa Milu dan Khairil Ammar Faisal, berpendapat jumlah jaminan yang dicadangkan adalah munasabah serta seimbang dengan nilai yang terlibat namun menyerahkan perkara itu kepada pertimbangan mahkamah.
Noor Hafizah membenarkan Bong diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 15 Dis ini sebagai tarikh pengurusan kes.