Rempuh kontena jatuh jejambat, pemandu lori nyaris maut

Rempuh kontena jatuh jejambat, pemandu lori nyaris maut

Kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori barangan kitar semula dari arah jejambat Westport menuju SKVE hilang kawalan ke atas kenderaan dipandunya.

Keadaan di lokasi kejadian selepas sebuah kontena berisi barangan kitar semula jatuh dari jejambat setinggi 12m di Jalan Pelabuhan Klang dan menghempap bahagian belakang sebuah lori di bawahnya, sebelum dirempuh sebuah lori lain.
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori nyaris maut, apabila lori yang dipandunya melanggar sebuah kontena yang jatuh dari jejambat pada ketinggian lebih 12 meter di Jalan Pelabuhan Klang, Selangor.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, dalam kejadian kira-kira 1.15 tengah hari tadi, Rusaini Hassani, 49, yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini, untuk rawatan lanjut.

“Dilaporkan sebuah kontena yang membawa barangan kitar semula jatuh dari atas jejambat setinggi 12m dan menghempap bahagian belakang sebuah lori yang berada di bawahnya, sebelum dirempuh sebuah lori lain (yang dinaiki mangsa), mengakibatkan mangsa tersepit.

“Enam anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Raja bergegas ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan pada 1.17 tengah hari,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Bernama.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Cha Hoong Fong berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan itu berlaku akibat pemandu lori barangan kitar semula dari arah jejambat Westport menuju Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) hilang kawalan ke atas kenderaan dipandunya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, lori tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan kontena (yang dibawanya) terjatuh ke bawah susur jalan dan menghempap kenderaan yang melalui jalan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.