
Naib Canselor UiTM, Roziah Mohd Janor berkata, laporan polis itu dibuat hari ini bagi melindungi mahasiswa dan kakitangannya.
“Sebenarnya saya faham keadaan itu, kita ini hidup dalam zaman media sosial, tetapi pada masa sama, kami juga, bukan kata tertakluk, kita ada undang-undang. Ada maklumat rahsia (tidak boleh dikongsi).
“Kalau kata maklumat rahsia, maknanya orang yang menerima laporan itu, tidak kiralah secara dalam talian atau emel, sepatutnya hormatlah. Tidak boleh dikongsikan dengan sesiapa di luar edaran,” katanya, menurut laporan Bernama.
Roziah berkata, laporan tiga muka surat itu bertujuan membolehkan pihaknya melaporkan secara terperinci perkara yang berlaku selain memberi pemahaman kepada pihak yang tiada di tempat kejadian.
“Kita bukan kongsi (laporan kronologi) tapi kita hantar kepada pihak yang sepatutnya. Saya tidak tahu bagaimana kebocoran itu berlaku, apa pun kita ada polisi dan undang-undang,” katanya.
Menurutnya, malam ini pihaknya akan membawa isu itu ke mesyuarat khas Lembaga Pengarah Universiti (LPU) yang akan dipengerusikan oleh Ibrahim Abu Shah dan melibatkan wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Insya-Allah keputusan dijangka dicapai, kita akan salurkan kepada kementerian (KPT) (keputusan yang dicapai). Apa yang sudah terbocor (laporan kronologi) itulah sebenarnya pilihan yang akan dibentangkan,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman kelas dalam talian yang memaparkan seorang pensyarah mengherdik penuntutnya kerana tidak mempunyai komputer riba serta meminta penuntut sama menyuruh kakaknya menggadai emas bagi membeli peralatan tersebut.
Susulan itu, satu dokumen dalaman UiTM, iaitu laporan kronologi siasatan berkenaan kejadian tersebut, turut tersebar.