Apa mangsa dera perlu buat jika polis enggan terima laporan

Apa mangsa dera perlu buat jika polis enggan terima laporan

Rina Harun berkata, sesetengah anggota polis enggan menerima laporan segelintir mangsa dera atas alasan ia melibatkan masalah keluarga.

Rina Harun berkata, laporan hospital boleh diguna pakai supaya pihak polis tak boleh menidakkan laporan dibuat mangsa keganasan rumah tangga. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberitahu sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

Sehubungan itu, Menterinya, Rina Harun menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

“Laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tak boleh menidakkan laporan yang mereka buat,” katanya selepas melancarkan buku “Wanita Bangkit” hari ini.

Rina berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi mengasingkan suami dan isteri, sekiranya didera.

Beliau mengulas keluhan segelintir mangsa keganasan rumah tangga bahawa mereka berdepan kesukaran melaporkan keganasan yang berlaku susulan sesetengah anggota polis enggan mengambil laporan kerana mendakwa ia melibatkan masalah keluarga.

Rina berkata, pihaknya juga akan membawa isu keengganan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga itu dalam sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Isu dengan balai polis, kita akan buat semakan dan libat urus dengan KDN supaya masalah ini dapat diatasi.

“Kita tahu isu-isu seperti ini ada unit Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), itu di bawah KDN. Perkara ini inputnya akan kita masukkan dalam perbincangan seterusnya sebab perbincangan kita sentiasa berjalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.